
KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan Hospital Mara tidak seharusnya dikaitkan dengan isu perkauman sebaliknya merupakan sebahagian usaha membangunkan ekosistem pendidikan kesihatan yang lengkap untuk masyarakat.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu dikemukakan berdasarkan keperluan institusi pendidikan di bawah Mara yang menawarkan pelbagai bidang berkaitan kesihatan.
Beliau berkata, selepas 60 tahun Mara ditubuhkan dan melahirkan ribuan doktor, agensi itu kini mempunyai asas kukuh mengembangkan ekosistem pendidikan kesihatan secara lebih menyeluruh.
“Saya tidak faham kenapa cadangan mewujudkan Hospital Mara dikaitkan dengan perkauman. Selepas 60 tahun, dengan beribu doktor dilahirkan, ekosistem pendidikan kesihatan lengkap, idea ini dikembangkan untuk manfaat semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, antara asas kepada cadangan itu adalah kewujudan UniKL Royal College of Medicine Perak yang menawarkan program dalam bidang kedoktoran, kejururawatan, farmasi, fisioterapi, pengimejan perubatan dan psikologi.
Katanya, institusi berkenaan sememangnya memerlukan sebuah hospital latihan bagi melengkapkan proses pendidikan dan latihan pelajarnya.
“UniKL MESTECH di Bangi pula menawarkan bidang berkaitan kesihatan termasuk sains kesihatan, makmal, kesihatan alam sekitar serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“UniKL BMI di Gombak pula menawarkan program kejuruteraan berkaitan kesihatan seperti penyelenggaraan kejuruteraan bioperubatan,” katanya.
Selain itu, katanya, UniKL MITEC turut menawarkan kursus berkaitan penyelenggaraan peralatan perubatan, sekali gus menunjukkan wujudnya rangkaian kepakaran dan pendidikan berkaitan kesihatan dalam institusi Mara.
“Pasukan khas telah dibentuk untuk meneliti cadangan berkenaan dan diamanahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Mara, Dr. Mahzan untuk mengetuainya.
“Pandangan pakar akan turut diambil kira termasuk doktor pakar daripada pelbagai hospital awam dan swasta yang menyatakan kesediaan membantu merealisasikan cadangan berkenaan.
“Saya tidak pernah akan menoleh ke belakang lagi. Insya-Allah semua aspek akan diteliti dan pandangan pakar-pakar akan digemblengkan,” katanya. – UTUSAN
The post Hospital Mara tidak harus dikaitkan soal perkauman appeared first on Utusan Malaysia.





