Cadangan jual 3 hartanah UOA Development bernilai RM200 juta gagal selepas UOA REIT tolak tawaran

13 May 2026 • 9:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cadangan jual 3 hartanah UOA Development bernilai RM200 juta gagal selepas UOA REIT tolak tawaran Image from: Cadangan jual 3 hartanah UOA Development bernilai RM200 juta gagal selepas UOA REIT tolak tawaran liza13/05/2026 - 09:41 UOA Business Park Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Mei – Cadangan pelupusan tiga hartanah milik UOA Development Bhd kepada UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) bernilai kira-kira RM200 juta dibatalkan selepas gagal memperoleh kelulusan pemegang unit REIT itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UOA Development berkata, urus niaga bersyarat berkenaan tidak diluluskan dalam mesyuarat tertangguh pemegang unit UOA REIT yang berlangsung pada 29 April 2026.

 

“Kegagalan mendapatkan kelulusan berkenaan menyebabkan syarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli (SPA) tidak dipenuhi yang membawa kepada pembatalan transaksi tersebut.

 

“Vendor telah menerima pembatalan tersebut pada 8 Mei 2026,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Cadangan pelupusan yang diumumkan pada Oktober tahun lalu melibatkan penjualan Tower 2A, Tower 2B dan bangunan parkir kereta di UOA Business Park berhampiran Subang Jaya.

 

Ia melibatkan Everise Project Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UOA Development sebagai penjual kepada RHB Trustees Berhad selaku pemegang amanah bagi UOA REIT.

 

UOA Development sebelum ini mengumumkan cadangan penjualan aset berkenaan pada 2 Oktober 2025 sebagai sebahagian daripada langkah pengewangan aset kumpulan.

 

Transaksi itu dilihat berpotensi membolehkan syarikat menjana tunai tambahan selain memperkukuh kedudukan kewangannya.

 

Bagi UOA REIT pula, pemerolehan tiga hartanah tersebut dijangka dapat menambah aset penjana pendapatan serta memperluaskan portfolio hartanah komersial kumpulan.

 

Bagaimanapun, keputusan pemegang unit untuk tidak meluluskan cadangan itu mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati pelabur terhadap pemerolehan aset baharu dalam keadaan pasaran hartanah komersial yang masih mencabar.

 

Pembatalan transaksi itu juga bermakna UOA Development akan terus memiliki ketiga-tiga hartanah berkenaan sementara syarikat menilai langkah seterusnya bagi aset tersebut.

 

Setakat ini, syarikat belum mengumumkan sebarang pelan alternatif terhadap hartanah terbabit atau sama ada cadangan baharu akan dikemukakan pada masa hadapan.

 

Pengumuman itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang implikasi kewangan material susulan pembatalan transaksi berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard