Cadangan mengarut, tak masuk akal

LocalOpinion
17 Aug 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cadangan mengarut, tak masuk akal
Membandingkan RXZ Members dengan acara maraton yang menutup jalan juga tidak tepat. Foto fail Bernama

CADANGAN supaya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2 ditutup sementara bagi memberi laluan kepada peserta RXZ Members jelas bukan jalan penyelesaian kepada masalah kemalangan yang sering berlaku ketika program itu berlangsung.

Dapatan tinjauan poll menerusi platform Sinar Harian menunjukkan, majoriti responden menolak cadangan tersebut, malah ada yang menyifatkannya sebagai idea tidak masuk akal dan keterlaluan.

Alasan bahawa peserta turut membayar cukai jalan tidak boleh dijadikan tiket untuk menuntut penutupan lebuh raya awam.

Lebuh raya digunakan jutaan pengguna dan sebarang penutupan pastinya memberi kesan kepada perjalanan, masa serta kos pengguna lain, selain berpotensi menyebabkan kerugian kutipan tol kepada syarikat konsesi.

Lebih penting, lebuh raya bukan litar lumba atau lokasi yang boleh ditutup sesuka hati. Sebarang penutupan memerlukan perancangan rapi membabitkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat konsesi dan agensi berkaitan.

Ia turut melibatkan kos operasi, tenaga kerja, kawalan trafik, laluan kecemasan, keselamatan serta kemungkinan implikasi terhadap perjanjian konsesi.

Membandingkan RXZ Members dengan acara maraton yang menutup jalan juga tidak tepat. Acara maraton lazimnya mempunyai laluan khusus, tempoh ditetapkan, kawalan keselamatan dan pelan pengurusan trafik yang disusun lebih awal.

RXZ pula melibatkan pergerakan ribuan motosikal dalam jumlah besar, sekali gus memerlukan pendekatan keselamatan yang jauh lebih tersusun.

Daripada memberi cadangan tidak masuk akal itu, lebih baik penganjur dan pihak berkuasa mencari pendekatan yang benar-benar menyelesaikan punca masalah.

Antaranya mengehadkan zon pergerakan motosikal, memperketat kawalan keluar masuk, meningkatkan rondaan, mengehadkan pergerakan secara berkumpulan dan mengenakan tindakan lebih tegas terhadap aksi berbahaya.

Jika acara itu mahu terus dianjurkan, keselamatan mestilah menjadi keutamaan. Jangan kerana mahu menjaga keseronokan segelintir pihak, kepentingan dan keselamatan pengguna lebuh raya lain pula menjadi taruhan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved