Cadangan pindah lokasi LIMA agar kekal relevan – Menteri Pertahanan

LocalPolitics
5 Sep 2026 • 11:52 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cadangan pindah lokasi LIMA agar kekal relevan – Menteri Pertahanan

KOTA TINGGI: Cadangan memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari Langkawi ke lokasi lain termasuk di Melaka bertujuan memastikan program berkenaan kekal relevan khususnya di peringkat antarabangsa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan penganjuran LIMA pada masa depan dapat terus bersaing dengan program pameran pertahanan lain yang turut diadakan negara-negara serantau.

Katanya, tindakan mengehadkan penganjuran program tersebut hanya di Langkawi dibimbangi akan menghalang penyertaan lebih banyak peserta antarabangsa.

“Saya tidak cakap (perlu tukar) esok atau lusa, saya kata pada masa akan datang. Kerana persaingan untuk penganjurannya sangat kuat. Kalau kita tidak tingkatkan kemudahan, keluasan kawasan dan sebagainya, mungkin ramai pihak tidak dapat sertai.

“Ini kerana selain kita, Indonesia, Vietnam dan Thailand juga ada buat pameran aset pertahanan. Jadi atas sebab itu, kita kena sentiasa lakukan penambahbaikan. Jika di Langkawi kawasannya terlalu kecil, maka kita kena cari lokasi lain, kalau tak penyertaan peserta akan kurang bernasib kita harap,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas tentang cadangan memindahkan penganjuran LIMA ke lokasi lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, antara lokasi lain yang sedang dipertimbangkan bagi tujuan itu termasuklah di Klebang, Melaka.

“Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dianjurkan dua tahun sekali di Kuala Lumpur, jadi mungkin DSA boleh dianjurkan dahulu di Klebang. Tetapi ia memerlukan pelaburan dengan pusat konvensyen yang sangat besar.

“Jika kita lihat di Arab Saudi, Abu Dhabi dan sebagainya, dia dibuat di kawasan setingkat, manakala di Malaysia dalam bangunan bertingkat, jadi tak cukup untuk menampung,” katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, LIMA telah mempunyai kekuatan jenama yang tersendiri di Langkawi dan masih relevan untuk dianjurkan di pulau berkenaan pada masa akan datang.

“Sebarang kekurangan dalam penganjuran LIMA seharusnya diperbaiki dan bukannya dijadikan alasan untuk menghentikan pameran berkenaan,” katanya.-UTUSAN

The post Cadangan pindah lokasi LIMA agar kekal relevan – Menteri Pertahanan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved