
KUALA KEDAH: Cadangan memindahkan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke Melaka dikhuatiri menjejaskan industri pelancongan dan ekonomi penduduk di pulau itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, cadangan itu turut menimbulkan keresahan dalam kalangan pemain industri ketika kerajaan negeri sedang menyelesaikan isu yang dihadapi termasuk feri.
“Dalam kita sedang mendapatkan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu feri dan pulangkan keistimewaan sebagai pulau bebas cukai yang mana semua usaha ini adalah untuk menggemilangkan Langkawi, tiba-tiba ada satu cadangan untuk pindahkan LIMA ke negeri lain.
“Saya rasa pelik dan ini tidak patut berlaku kerana LIMA lebih daripada tiga dekad sudah serasi dengan Langkawi. Kalau nak majukan mana-mana negeri dalam sektor pelancongan tak perlu untuk kita ketengahkan satu cadangan yang buatkan pemain industri dan juga orang ramai resah kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan di Masjid Al Ummah Telok Chengai di sini hari ini.
Mohd. Salleh mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa kerajaan sedang meneroka alternatif untuk menjadikan Melaka khususnya Klebang sebagai lokasi penganjuran LIMA pada masa hadapan.
Mengulas lanjut kata Mohd. Salleh, kerajaan negeri juga sedang berusaha mendapatkan semula keistimewaan pulau bebas cukai yang pernah dinikmati Langkawi bagi memperhebat semula sektor pelancongan di pulau berkenaan.
Beliau berkata, usaha untuk memajukan mana-mana negeri dalam sektor pelancongan sepatutnya dilakukan dengan mewujudkan produk atau tarikan baharu bukannya mengambil produk yang mempunyai identiti tersendiri di sesuatu tempat.
“Kalau mahu majukan mana-mana negeri atau tempat, wujudkan sesuatu yang baharu. Jangan pergi cedok benda orang lain atau produk orang lain untuk dibawa ke tempat itu,” katanya.
Menurut beliau, LIMA bukan sekadar sebuah pameran kerana identiti, tetapi sejarah dan jenamanya sebati dengan Langkawi selain namanya menunjukkan pulau itu sebahagian daripada jenama dikenali di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, maklum balas daripada pemain industri di Langkawi terhadap cadangan tersebut adalah kurang baik kerana LIMA merupakan antara acara paling dinantikan, malah penganjuran tahun lalu merekodkan jumlah kehadiran pengunjung tertinggi sepanjang sejarah acara itu.
“Kalau Langkawi dianggap sukar diakses berbanding destinasi di tanah besar, perkara yang perlu diselesaikan adalah akses ke Langkawi bukannya memindahkan program sebesar ini ke tempat lain. Orang luar datang ke Langkawi bukan sekadar datang ke Kedah tetapi datang ke Malaysia. Jadi, teruskan penganjuran LIMA di Langkawi,” katanya. – UTUSAN
The post Cadangan pindah lokasi LIMA jejas ekonomi Langkawi appeared first on Utusan Malaysia.






