‘Cahaya lampu putih penyu boleh tertekan, keliru’

LocalEnvironment
24 Sep 2026 • 9:33 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Cahaya lampu putih penyu boleh tertekan, keliru’

KUALA TERENGGANU – Aktivis biologi marin menegur sikap segelintir individu yang terlalu ghairah menyaksikan seekor penyu belimbing bertelur di Pantai Kuala Abang, Dungun, kelmarin sehingga mengganggu reptilia terbabit.

Nurul Ainni Mazlan berkata, perbuatan mengerumuni induk penyu tersebut terlalu dekat serta penggunaan lampu dengan cahaya terlalu terang boleh memberi tekanan dan ‘trauma’ terhadap reptilia terbabit.

“Proses pendaratan untuk bertelur merupakan fasa paling sensitif buat seekor penyu betina.

“Naluri semulajadi penyu akan bertelur di lokasi sesuai yang tersorok. Kehadiran terlalu ramai manusia juga dianggap halangan atau ancaman terhadapnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu keghairahan segelintir orang ramai yang mengganggu seekor induk penyu belimbing bertelur buat kali ketiga di Pantai Kuala Abang kelmarin mendapat teguran ramai.

Nurul Ainni berkata, perbuatan terlalu ramai mengerumuninya sewaktu proses bertelur membuatkan seekor induk penyu tidak selesa ibarat seperti dihurung sekumpulan lalat.

Beliau berkata, walaupun, penyu betina akan kurang sensitif selepas selesai mengeluarkan telur dan sepanjang menimbus pasir bagi menutup sarang namun penggunaan lampu masih perlu dikawal.

“Cahaya lampu putih boleh menyebabkan penyu itu tertekan dan keliru. Sebaiknya guna lampu bercahaya merah.

“Kita bimbang trauma dialami induk penyu itu akan menyebabkan reptilia terbabit akan terus menghindari pantai terbabit pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Nurul Ainni menggesa orang ramai mengubah cara melihat proses penyu bertelur dengan memberi lebih ruang terhadap reptilia tersebut menjalani proses semulajadinya.

Menurutnya, terlalu mendekati dan ghairah merakam gambar dan video sehingga etika pengendalian penyu diketepikan harus dielakkan.

“Jangan ulangi kesilapan generasi terlalu sehingga penyu belimbing terlalu lama merajuk untuk bertelur di pantai kita. Kita tidak mahu
kehilangan spesies penyu terbesar itu sekali lagi,” katanya.

The post ‘Cahaya lampu putih penyu boleh tertekan, keliru’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved