hamden17/09/2026 - 13:05 Oleh Hamden Ramli editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyeragamkan caj kemasukan kenderaan e-hailing kepada RM2, termasuk cukai, di Terminal 1 dan Terminal 2 berkuat kuasa 16 September 2026.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata kadar baharu itu lebih rendah berbanding caj sebelum ini sebanyak RM3 di Terminal 1 dan RM2.16 di Terminal 2.
Penyeragaman tersebut menyediakan satu kadar yang konsisten kepada penumpang dan pengendali e-hailing bagi urusan pengambilan penumpang di kedua-dua terminal.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memberikan kejelasan kepada penumpang serta pengendali e-hailing, selain menyokong pengalaman pengambilan penumpang yang lebih lancar.
Sementara itu, kemudahan e-hailing yang dipertingkatkan di Terminal 1 pada Ogos 2026 menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi operasi dalam tempoh sebulan selepas pelaksanaannya.
Sebanyak 99.3% pemandu e-hailing kini berjaya melengkapkan pengambilan penumpang dan keluar dalam tempoh 10 minit yang diperuntukkan, berbanding 49.4% sebelum ini.
Jumlah kenderaan harian yang memasuki lorong pengambilan penumpang turut berkurangan 13.5% kepada 7,024 kenderaan daripada 8,124 kenderaan.
MAHB berkata perkembangan itu mencerminkan kawalan operasi e-hailing yang lebih baik, termasuk pengurangan aktiviti tanpa kebenaran, pergerakan kenderaan yang tidak diperlukan dan tempoh berhenti melahu yang berpanjangan.
Pada masa sama, akses bagi pengambilan penumpang yang sah kekal lancar.

Pengalaman perjalanan penumpang dipertingkatkan
Sistem yang dipertingkatkan itu turut meningkatkan kapasiti pemprosesan pada waktu puncak daripada 302 kepada sehingga 660 kenderaan sejam, sekali gus membolehkan pergerakan kenderaan lebih pantas serta operasi pengambilan penumpang yang lebih lancar ketika tempoh ketibaan puncak.
Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin berkata, penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan e-hailing mencerminkan komitmen pengendali lapangan terbang untuk meningkatkan keseluruhan perjalanan penumpang.
“Di KLIA, setiap aspek perjalanan penumpang penting, termasuk pengalaman ketika menuju ke dan meninggalkan lapangan terbang.
“Dengan menyediakan ruang dalaman yang selesa untuk penumpang menunggu serta memberikan tempoh masa yang lebih jelas kepada pemandu, kami melihat pematuhan yang lebih baik, pergerakan kenderaan yang lebih pantas dan aliran trafik yang lebih lancar,” katanya.
Beliau berkata ruang pengambilan penumpang kini dikosongkan dengan lebih pantas, manakala penumpang tidak lagi perlu menunggu di sepanjang kawasan tepi jalan yang sesak.
“Disiplin operasi dan pematuhan akan terus menjadi perkara utama bagi mengekalkan pengalaman yang teratur dan mudah untuk semua yang menggunakan kemudahan lapangan terbang kami.
“Kami menghargai kerjasama pengendali dan pemandu e-hailing ketika kami terus menambah baik operasi darat di KLIA,” katanya.
Kemudahan yang dinaik taraf di Terminal 1 merangkumi sistem Pengecaman Plat Nombor (LPR) yang diintegrasikan dengan Skrin Paparan Maklumat Penumpang (PIDS), kiosk layan diri, kawasan menunggu penumpang khusus, ruang pengambilan penumpang berstruktur serta petugas lapangan bagi membantu penumpang dan melancarkan aliran trafik.
Sistem e-hailing yang dipertingkatkan itu turut membolehkan pemantauan dan kawalan akses lebih ketat bagi memastikan hanya kenderaan e-hailing yang dibenarkan menggunakan kemudahan pengambilan penumpang yang ditetapkan.
Kenderaan e-hailing akan terus diperuntukkan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang di tepi jalan bagi menyokong pergerakan trafik lebih baik, meningkatkan ketersediaan ruang pengambilan serta mewujudkan pengalaman pengambilan penumpang lebih cekap. - DagangNews.com






