hamden17/09/2026 - 10:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - KSL Holdings Bhd dijangka terus meraih manfaat daripada permintaan hartanah yang berkembang di Johor, didorong jangkaan siapnya projek Sistem Transit Rapid (RTS) pada penghujung 2026, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, KSL Holdings merupakan antara syarikat hartanah utama yang mempunyai pendedahan kukuh di Johor dengan bank tanah melebihi 4,400 ekar, atau lebih 90% daripada keseluruhan portfolionya.
Katanya, limpahan manfaat daripada RTS berpotensi meningkat dengan ketara, khususnya dalam beberapa bulan pertama selepas operasi bermula.
"Kami menjangkakan dividen sesaham (DPS) FY26 lebih tinggi pada 11 sen, memberikan hasil 4% berbanding 10 sen pada FY25, susulan sasaran jualan lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik," katanya dalam nota penyelidikan.
RHB Research mengekalkan nilai saksama (FV) KSL Holdings pada RM4.45, berdasarkan diskaun 45% kepada nilai aset bersih dinilai semula (RNAV).
Firma itu turut menyatakan penerbitan saham bonus berkemungkinan dilaksanakan memandangkan kedudukan dana pemegang saham KSL Holdings yang kukuh.
Sasaran jualan dinaikkan kepada RM2 bilion
Pihak pengurusan KSL Holdings baru-baru ini menaikkan sasaran jualan hartanah FY26 kepada RM2 bilion daripada RM1.6 bilion, disokong momentum jualan positif dan tempahan dalam tangan bernilai RM800 juta.
RHB Research berkata projek Riveria Garden yang baharu dilancarkan mendapat sambutan menggalakkan.
Setakat ini, semua lot kedai dan unit rumah teres bukan bumiputera telah habis dijual, manakala kadar pengambilan bagi apartmen perkhidmatan Riverhaus yang dilancarkan pada suku ketiga 2026 mencapai 35%.
Firma itu menganggarkan projek tersebut sahaja berpotensi menyumbang antara RM800 juta hingga RM900 juta kepada jumlah jualan hartanah kumpulan pada tahun ini.
Bestari Alma bakal sokong jualan
KSL Holdings turut merancang melancarkan projek Bestari Alma di Gelang Patah menjelang akhir tahun ini.
Fasa pertama projek itu merangkumi 380 unit rumah teres dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM360 juta.
RHB Research menjangkakan projek tersebut turut mendapat sambutan memandangkan lokasinya yang strategik di sepanjang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Second Link).
Firma itu berkata sebuah persimpangan bernilai RM300 juta akan dibina, manakala lebuh raya Second Link turut dinaik taraf bagi menampung peningkatan aliran trafik susulan pertumbuhan penduduk dan aktiviti perindustrian.
KSL Esplanade dijangka catat peningkatan kunjungan
Di Lembah Klang, KSL Esplanade turut menunjukkan tanda-tanda peningkatan jumlah pengunjung selepas pembukaan Lotus's Mart pada April serta permulaan operasi LRT 3 pada Julai.
Pusat beli-belah itu terletak kira-kira lima minit dari stesen Johan Setia.
RHB Research menjangkakan kadar penghunian KSL Esplanade, yang kini berada pada 46%, serta purata kadar sewa meningkat secara beransur-ansur.
Pihak pengurusan juga merancang mengubah campuran penyewa secara berperingkat dengan memperkenalkan lebih banyak jenama pasaran massa bagi memenuhi permintaan pasaran setempat.
Sementara itu, KSL City Mall 2 di Nusa Bestari kini dalam peringkat perancangan, dengan pembinaan dijangka bermula selepas tamat tempoh pajakan sedia ada pada 2028.
Pusat beli-belah baharu itu berpotensi menggandakan saiz KSL City Mall di Johor Bahru yang mempunyai keluasan lantai bersih (NLA) sebanyak 450,000 kaki persegi.
Lokasinya yang dikelilingi kawasan kejiranan matang seperti Nusa Bestari, Bukit Indah dan Taman Perling turut dijangka membolehkan pusat beli-belah tersebut meraih manfaat daripada perbelanjaan runcit penduduk setempat serta pelancong dari Singapura.
"Keseluruhan portfolio aset runcit KSL dijangka membuka laluan kepada penyenaraian REIT dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com





