Pengurangan 5 sen caj akses CRESS mampu buka peluang baharu pemain EPCC solar – UOBKH

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 11:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengurangan 5 sen caj akses CRESS mampu buka peluang baharu pemain EPCC solar – UOBKH Image from: Pengurangan 5 sen caj akses CRESS mampu buka peluang baharu pemain EPCC solar – UOBKH hamden17/09/2026 - 11:44 Oleh HAMDEN BIN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept - Pengurangan caj akses sistem (SAC) di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) daripada 20 sen kepada 15 sen setiap kilowatt-jam (kWh) berpotensi meningkatkan daya maju projek tenaga boleh baharu (RE) serta membuka peluang baharu kepada pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar.

 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, semakan saluran yang dijalankan menunjukkan caj berkenaan berpotensi dikurangkan kepada 15 sen/kWh bagi bekalan tenaga boleh baharu yang terjamin dan disokong penyimpanan bateri.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pengurangan berkenaan berpeluang meningkatkan pulangan projek dan merancakkan pemberian kontrak baharu dalam sektor EPCC solar.

 

“Solar dijangka menjadi sumber tenaga yang berkembang paling pantas dalam campuran tenaga menjelang 2035, menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

 

“Dengan sokongan berterusan kerajaan terhadap tenaga boleh baharu, SAC bagi program CRESS berpotensi mengalami pengurangan lanjut,” katanya dalam laporan selepas persidangan Energy Regulatory Insights 2026 yang dianjurkan Suruhanjaya Tenaga.

 

Penilaian semula saham pemain sedia ada

UOBKH berkata, potensi pengurangan SAC itu juga boleh menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula pemain EPCC solar, ketika pasaran menunggu pemberian projek CRESS baharu daripada pengendali pusat data.

 

Analisis sensitiviti firma penyelidikan itu menunjukkan setiap kemenangan projek CRESS berkapasiti 50 megawatt (MW) berpotensi meningkatkan permodalan pasaran Solarvest Holdings Bhd, Pekat Group Bhd dan Northern Solar Holdings Bhd masing-masing sebanyak 5%, 10% dan 55%.

 

“Pada masa ini, bagi mengekalkan daya saing, pemain EPCC solar perlu menjadikan tarif CRESS sebagai penanda aras berbanding caj voltan ultra tinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebanyak 55 sen/kWh untuk pusat data.

 

“CRESS selama 15 tahun berdasarkan caj SAC semasa 20 sen/kWh akan menghasilkan kadar pulangan dalaman (IRR) projek sebanyak 7%.

 

“Kami percaya kadar ini tidak cukup menarik bagi pemain seperti Solarvest dan Pekat memandangkan kos pembiayaan yang lebih tinggi antara 5% hingga 6%,” katanya.

 

Sebaliknya, UOBKH Research berkata model berkenaan lebih munasabah bagi pemain besar seperti TNB yang mempunyai kelebihan dari segi keupayaan pembiayaan.

 

Pengurangan SAC sebanyak lima sen/kWh akan meningkatkan IRR projek CRESS kepada 9%, sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pemain EPCC solar untuk memeterai perjanjian CRESS jangka panjang.

 

Pusat data guna 30% tenaga baharu

Sementara itu, Pasukan Petugas Pusat Data di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mewajibkan pembangunan pusat data baharu mendapatkan sekurang-kurangnya 30% penggunaan elektrik daripada tenaga boleh baharu.

 

Berdasarkan saluran projek pusat data TNB berkapasiti 13GW, kira-kira 4GW kapasiti baharu perlu dibangunkan menerusi laluan CRESS.

 

Dengan anggaran perbelanjaan modal projek sebanyak RM3.5 juta bagi setiap MW, potensi tersebut diterjemahkan kepada buku tempahan sekurang-kurangnya RM14 bilion dalam tempoh sedekad akan datang.

 

Kluster utama pusat data yang dijangka menerajui pelaksanaan CRESS adalah di Johor dan Lembah Klang.

 

“Malah, pengendali sistem grid (GSO) menjangkakan permintaan puncak meningkat 50% menjelang 2035, didorong terutamanya oleh peningkatan loji pusat data.

 

“Bagi memenuhi peningkatan permintaan tersebut, GSO menjangkakan kapasiti solar perlu berkembang lima kali ganda dalam tempoh sedekad akan datang.”

 

UOBKH berkata sektor utiliti dijangka terus mendapat manfaat daripada perkembangan pusat data yang semakin pesat, didorong perubahan lokasi yang menyokong pertumbuhan berterusan dalam permintaan elektrik.

 

“Bagi pemain solar, peningkatan keperluan tenaga boleh baharu daripada pusat data boleh diterjemahkan kepada pengukuhan pengisian semula buku pesanan serta memberikan potensi rangsangan kepada pendapatan dalam tempoh sederhana,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved