
Fenomena kereta elektrik (EV) semakin mencuri perhatian dalam pembangunan industri automotif negara. EV dilihat sebagai kenderaan masa depan yang berpotensi mengubah landskap pengangkutan moden. Namun, cabaran besar yang masih membelenggu ialah ketersediaan rangkaian pengecas awam yang belum mencukupi.

Bagi menangani isu tersebut, kerajaan melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sedang mengkaji mekanisme mengenakan caj baharu ke atas setiap jualan EV. Langkah ini bertujuan mewujudkan tabung khas bagi membiayai pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara memandangkan kerajaan berdepan kekangan untuk menanggung kos pembangunan infrastruktur berskala besar.

Idea mengenakan caj baharu timbul selepas kerajaan kehilangan hasil cukai sebanyak RM3.3 bilion dalam tempoh empat tahun akibat pengecualian duti import, eksais dan cukai jualan bagi EV import sepenuhnya (CBU). Walaupun insentif ini diberikan, pelaburan dalam rangkaian pengecas awam tidak berkembang seperti diharapkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap persiapan negara dalam menyokong penggunaan EV secara meluas.

Selepas tempoh tersebut, usaha membangunkan rangkaian pengecas awam masih terbatas kerana tiada pelaburan besar daripada pemain industri EV. Justeru, kerajaan memutuskan galakan baharu hanya dilanjutkan untuk EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027. Syarikat yang ingin menerima galakan ini diwajibkan mengukuhkan ekosistem automotif negara dengan melibatkan pembekal tempatan, menggunakan komponen buatan dalam negara serta melaksanakan pemindahan teknologi. Langkah ini bukan sahaja menyokong industri tetapi juga memastikan pembangunan infrastruktur pengecas awam dapat ditampung secara lebih menyeluruh.

Ketika ini, Proton dan Perodua telah membangunkan rangkaian kira-kira 733 syarikat pembekal peringkat 1 hingga 3 yang menyumbang antara 72% hingga 82% komponen automotif negara. Namun begitu, cabaran terbesar masih tertumpu kepada pembangunan rangkaian pengecas awam khususnya bagi pengguna pangsapuri dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak mempunyai kemudahan pengecas di rumah.
Sumber – Utusan Malaysia





