liza29/07/2026 - 09:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Kadar caj yang dikenakan di stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) awam di Malaysia akan terus ditentukan oleh setiap pengendali kerana kerajaan memilih untuk tidak melaksanakan sebarang mekanisme kawalan harga bagi perkhidmatan itu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pendekatan berasaskan pasaran tersebut diyakini mampu menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pengendali selain menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta untuk memperluaskan rangkaian pengecas EV di seluruh negara.
Menurut kementerian itu, penyertaan aktif pemain industri amat penting bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur stesen pengecas yang akan memudahkan orang ramai beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik.
Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin mengetahui jumlah stesen pengecas EV awam di negara ini serta sama ada kadar caj yang dikenakan tertakluk kepada kawal selia, kawalan harga, pelesenan atau pemantauan kerajaan.
Infrastruktur Pengecas Terus Berkembang
Dalam perkembangan sama, MITI memaklumkan sebanyak 6,416 pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara setakat 31 Mei 2026, mencerminkan perkembangan positif ekosistem mobiliti elektrik di Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,143 unit atau 33.4% merupakan pengecas arus terus (DC) yang menawarkan pengecasan pantas, manakala 4,273 unit atau 66.6% ialah pengecas arus ulang alik (AC).
Semenanjung Malaysia terus merekodkan pemasangan tertinggi dengan 6,176 unit atau 96% daripada keseluruhan pengecas EV awam, diikuti Sarawak sebanyak 208 unit dan Sabah dengan 32 unit.
Walaupun kadar caj diserahkan kepada pengendali, MITI menjelaskan pembangunan serta operasi kemudahan pengecas EV masih perlu mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, aspek berkaitan piawaian teknikal, keselamatan dan operasi dipantau oleh agensi berkaitan termasuk MITI, Suruhanjaya Tenaga serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kemudahan yang disediakan selamat digunakan oleh orang ramai.
Kerajaan Perkukuh Penyelarasan Industri EV
Pada masa sama, MITI berkata kerajaan telah mewujudkan dua platform utama bagi menyelaras pembangunan ekosistem EV negara agar pelaksanaan dasar dan projek berkaitan dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu.
Menurut kementerian itu, Mesyuarat Pasukan Petugas EV Kebangsaan yang dipengerusikan oleh MITI serta Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, memainkan peranan penting dalam penyelarasan tersebut.
Melalui platform berkenaan, pelbagai isu merentas kementerian dan agensi dapat dibincangkan secara menyeluruh bersama pemain industri, termasuk perkara berkaitan kawal selia, keselamatan, pelaksanaan projek, pembangunan infrastruktur pengecasan serta pertumbuhan industri EV tempatan.
MITI berkata, kerajaan komited memastikan pembangunan rangkaian pengecas EV dilaksanakan secara selamat, sistematik dan mampu menyokong pertumbuhan industri yang semakin berkembang.
Sehubungan itu, kementerian berkenaan memaklumkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan diteruskan bagi membangunkan pendekatan kawal selia berkaitan fi pengecasan EV.
Pada masa yang sama, langkah itu akan mengekalkan persekitaran pasaran yang kondusif untuk menggalakkan pelaburan swasta dan memperluaskan akses pengguna kepada kemudahan pengecasan di seluruh negara. - DagangNews.com





