Caj kesesakan dijangka kurangkan 20 peratus kesesakan di KL

LocalPolitics
27 Feb 2025 • 2:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Caj Kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.



Beliau berkata, untuk memastikan kejayaan inisiatif yang masih di peringkat kajian itu, kadar Caj Kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu.



"Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj berkenaan menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.



Azman ingin tahu apakah mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya ia dilaksanakan dan jumlah penurunan kesesakan yang dijangka oleh kerajaan.



Dr Zaliha berkata, kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan kerugian yang ditanggung negara akibat kesesakan jalan raya ialah RM20 bilion.



Kajian pelaksanaan Caj Kesesakan itu dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).



"Kajian itu merangkumi pelbagai aspek, termasuk mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik, serta kadar peningkatan penggunaan pengangkutan awam sekiranya caj berkenaan diperkenalkan,” katanya.



Dalam masa sama, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian Caj Kesesakan ini. - Bernama



Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved