“KL, Georgetown, JB” – Pelaksanaan Caj Kesesakan Dijangka Boleh Kurangkan 20% Kesesakan

Entertainment
27 Feb 2025 • 5:05 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa jangka pelaksanaan caj kesesakan mampu mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

Memetik sumber Berita Harian, Dr Zaliha menyatakan jangkaan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan caj kesesakan di bandar antarabangsa.

Jelasnya, pelaksanaan caj kesesakan seperti di bandar London dan Stockholm mampu mengurangkan kesesakan sehingga 20 hingga 30 peratus.

Manakala pelaksanaan sistem ini di New York dan Singapura pula boleh menurunkan jumlah trafik sekitar 10 hingga 15 peratus.

Beliau berkata untuk memastikan kejayaan inisiatif yang masih di peringkat kajian itu, kadar caj kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu.

image is not available

“Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj berkenaan menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Berkongsi situasi kesesakan di Kuala Lumpur, Dr Zaliha berkata purata kenderaan keluar masuk adalah sebanyak 1.5 juta sehari dan purata 24 jam dalam satu masa, terdapat 6 juta kenderaan di dalam ibu kota.

Dalam masa sama, katanya, jumlah pengguna pengangkutan awam di Kuala Lumpur hanya 25 peratus.

Jelasnya, penguatkuasaan caj kesesakan buat masa ini tidak sesuai dilakukan sebelum sesebuah bandar raya mempunyai integrasi sistem pengangkutan awam yang lengkap.

Jusreru, katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian caj kesesakan ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut memaklumkan, selain Kuala Lumpur, dua lagi bandar raya di Malaysia yang berpotensi untuk pelaksanaan caj kesesakan adalah Georgetown dan Johor Bahru.

Korang setuju ke jika caj kesesakan akan dilaksanakan suatu hari nanti?

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.