Diugut sindiket PATI? Buat laporan polis! Jangan hanya viralkan – KP Kelantan

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 9:55 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Polis Kelantan menggesa penduduk yang mendakwa menerima ugutan daripada sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan sempadan negeri itu supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak terlibat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya memandang serius dakwaan ancaman tersebut, namun siasatan sukar dijalankan tanpa laporan rasmi daripada mangsa.

Menurutnya, tindakan sekadar mendedahkan kejadian melalui media sosial tidak mencukupi untuk membantu polis mengenal pasti suspek dan menjalankan siasatan.

“Kalau mereka menerima ugutan dan sebagainya, perlu tampil kepada pihak polis untuk membuat laporan supaya kita boleh menjalankan siasatan, mengenal pasti pelaku dan seterusnya membuat tangkapan.
“Kalau hanya disebarkan melalui media sosial, bagaimana kita hendak menjalankan siasatan?,” katanya pada sidang akhbar, Khamis.
Image from: Diugut sindiket PATI? Buat laporan polis! Jangan hanya viralkan – KP Kelantan

Kredit Foto: UTUSAN/ROHANA ISMAIL

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di perairan Sungai Kelantan dan sekitar Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu sindiket penyeludupan PATI.

Terdahulu, media melaporkan penduduk di pesisir pantai Kelantan mendakwa diugut menggunakan senjata api oleh individu dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia bagi menghalang mereka membongkar kegiatan tersebut.

Malah, penduduk turut mendakwa PATI dibawa masuk ke negara ini hampir setiap malam melalui laluan sungai, jeti dan kawasan pantai terpencil.

Mohd Yusoff melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di sekitar Tumpat dan Kota Bharu pada Khamis yang dipercayai menjadi laluan baharu PATI ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Kredit Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Mengulas kebimbangan penduduk, Mohd Yusoff memberi jaminan bahawa mereka yang tampil membantu siasatan boleh mendapat perlindungan melalui peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Perlindungan Saksi bagi kes yang memenuhi syarat.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan sindiket dipercayai mula beralih menggunakan laluan laut selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024.

Sumber: Sinar Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved