Pesisir Sungai Kelantan digempur, sekat kemasukan PATI

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 9:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pesisir Sungai Kelantan digempur, sekat kemasukan PATI

TUMPAT: Pihak berkuasa bersiap sedia untuk menggempur pesisir Sungai Kelantan dalam masa terdekat bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas polis menutup pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu digerakkan susulan kejayaan projek rintis sebelum ini.

Katanya, pembahagian kawasan operasi sudah dirancang bagi membolehkan setiap agensi terlibat memberi tumpuan kepada sektor masing-masing.

“Di darat, kita turut menyusun penempatan kenderaan peronda dan anggota di balai serta lokasi pendaratan yang dikenal pasti.

“Selain itu, kita juga mahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama polis di setiap sekatan jalan raya bagi mengesahkan ketulenan dokumen perjalanan kerana kepakaran itu ada pada pihak imigresen,” katanya.

Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya sudah mengenal pasti laluan utama yang diberi perhatian bermula dari Kuala Tumpat dan Kuala Besar di Kota Bharu.

Katanya, laluan Sungai Kelantan yang menjadi laluan pergerakan bot ke kawasan penempatan penduduk di Wakaf Bharu dan sekitarnya sudah dikenal pasti.

“Di kawasan Teluk Renjuna, kita membuat sekatan dengan menempatkan bot serta anggota bagi menghalang bot daripada meneruskan perjalanan masuk ke sungai.

“Kita sudah mengenal pasti modus operandi mereka, termasuk laluan yang digunakan dan kawasan pendaratan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, projek rintis yang dijalankan pada 7 Oktober lalu dari jam 7 malam hingga 7 pagi berjaya menyekat kemasukan melalui laluan berkenaan sepanjang tempoh operasi.

“Alhamdulillah, ketika kita membuat sekatan, tiada kemasukan dikesan pada waktu itu. Kita juga membuat tangkapan membabitkan dua kes dengan sembilan tangkapan, iaitu lapan PATI dan seorang tekong darat,” ujarnya.-UTUSAN

The post Pesisir Sungai Kelantan digempur, sekat kemasukan PATI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved