KOTA BHARU - Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak menolak jika beliau dicalonkan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bagi menggantikan kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Kita orang Pas bergantung kepada amanah yang diberikan. Selagi tidak diberi amanah itu, kita tidak boleh kata kita hendak terima atau tidak terima. Tak timbul lagi, tak relevan. Kalau ada arahan, kita terima. Kalau tak ada arahan, tak," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Takiyuddin berkata demikian apabila ada pihak menyatakan beliau antara individu yang layak memegang jawatan tersebut.
Menurutnya, siapa pun calonnya, individu terbabit merupakan seorang Ahli Parlimen Pas.
Tambah beliau, sebagaimana yang disebut oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini, nama Ketua Pembangkang baharu akan diketahui pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin mengakui Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam merupakan antara calon berpotensi untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
"Ya, Dr Sam salah seorang yang mungkin layak untuk jadi Ketua Pembangkang sebab beliau Menteri Besar dan juga Pengerusi PN.
"Sebelum ini pun Setiausaha Agung PN jadi Ketua Pembangkang. Jadi Pengerusi ini lagi layaklah," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa setakat ini tiada senarai nama muktamad diputuskan oleh Pas berhubung jawatan berkenaan.
"Nama sebenarnya tak timbul. Pas sendiri pun belum buat keputusan akhir sebab semua orang layak," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan beberapa pertimbangan perlu diambil kira termasuk kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu sekiranya dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
"Kita buat pelbagai pertimbangan sebelum pilih. Kita kena tengok juga kedudukan beliau sebagai Menteri Besar, sesuai atau tidak.
"Namun berdasarkan pengalaman lalu pada tahun 1999, Menteri Besar Terengganu ketika itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga pernah memegang jawatan Ketua Pembangkang.
"Jadi tiada masalah, kita akan lihat suasana semasa dan pilih siapa yang terbaik dalam kalangan kita. Kita bekerja secara kolektif, bukan individu," katanya.
Sinar Harian pada 14 Mac lalu melaporkan, PN memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen Pas bagi menggantikan Hamzah yang menyandang jawatan berkenaan ketika ini.
Menurut Ahmad Samsuri, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya pada Sabtu.
