Calon SPM maut, rakan cedera, motosikal dihempap pokok kelapa

2 Jul 2026 • 10:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Calon SPM maut, rakan cedera, motosikal dihempap pokok kelapa
Nik Mohd Haikal (gambar kiri) meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki dihempap pokok kelapa.
Image from: Calon SPM maut, rakan cedera, motosikal dihempap pokok kelapa
Ahmad Iqbal mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk menerima rawatan.

BACHOK - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang ketika hujan dan angin kencang di kawasan tali air Kampung Permatang Pasir Gunung di sini petang Khamis

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal, Nik Mohd Haikal Abd Rahim, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Rakannya, Ahmad Iqbal Mukmin, 17, yang membonceng motosikal berkenaan pula mengalami kecederaan parah.

**media[3569646]**

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Bachok untuk bedah siasat.

“Rakannya mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher dan punggung dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita.

Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua remaja lelaki itu sedang melalui kawasan sawah di tali air berkenaan sebelum pokok kelapa berkenaan tumbang dan menghempap motosikal yang mereka naiki.

Sementara itu, Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Permatang Pasir, Nor Azman Mohamad, 52, berkata, laluan tersebut merupakan jalan yang sering digunakan penduduk kampung termasuk pelajar sekolah.

Menurutnya, pada petang kejadian, angin kencang dan hujan melanda kawasan itu selama kira-kira lima minit.

“Ini merupakan kejadian pertama pokok tumbang di laluan ini sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau berkata, pembonceng motosikal tersebut turut membawa tongkat semasa menaiki motosikal kerana dalam keadaan patah kaki akibat kemalangan lain sebelum ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved