Cameron ketuai skuad wanita B-20

20 Feb 2023 • 3:26 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Ketua Unit Akar Umbi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Cameron Ng dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan wanita bawah 20 tahun (B-20) kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman, yang mengumumkan pelantikan itu, berkata Cameron mempunyai kebolehan untuk membawa pasukan itu ke saingan kelayakan wanita B-20 Piala Asia 2024 bermula awal Mac ini.

Cameron, 44, akan terus mengetuai Unit Akar Umbi yang dikendalikannya sejak 2020.

Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell berkata Cameron telah menunjukkan kemampuannya ketika menguruskan pembangunan akar umbi serta semasa membantu Ketua Jurulatih Skuad Malayan Tigress Soleen Al-Zoubi.

“Selain daripada kelayakannya, Soleen berpendapat kami memerlukan seseorang yang boleh melakukan perubahan, jika tidak kami akan dapat hasil yang sama. Kami yakin Cameron boleh melakukan perubahan, mewujudkan suasana lebih positif dan profesional dalam pasukan wanita.

“Keutamaan kami untuk beberapa tahun akan datang ini ialah menambah jumlah perlawanan bagi memastikan mereka bersedia apabila dipanggil untuk kem pasukan kebangsaan,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM di sini, hari ini.

Sementara itu, Cameron, yang memiliki Diploma Kejurulatihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membantu skuad wanita B-20 itu.

“Kami mahu menetapkan sasaran yang realistik, mahukan persembahan berpasukan yang baik daripada pemain dan maju ke hadapan sebagai satu pasukan,” katanya. -Bernama