Canon EOS R8 Mark II dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan spesifikasi dan rekaan baharu semalam. Kamera nircermin ini dilengkapi sensor 24.2MP bingkai penuh yang dipadankan dengan pemproses DIGIC X. Sistem pemfokusan Dual Pixel CMOS AF II digunakan lengkap dengan tombol kawalan di bahagian belakang untuk pengguna mengubah titik pemfokusan kamera.

Ia juga hadir dengan sistem IBIS yang pertama kali digunakan pada siri EOS R8. IBIS mengurangkan gegaran sehingga 7.5 stops di tengah bingkai. Selain itu kamera boleh mengambil sehingga 40 fps, dengan peningkatan 30% lebih banyak foto RAW berterusan dan 58% lebih banyak JPEG berbanding R8 asal. Ia turut boleh merakam 20 bingkai gambar sebelum pengatup kamera ditekan sepenuhnya supaya tidak terlepas subjek yang dingin ditangkap gambar.
Rakaman video pula ialah sehingga uncropped 4Kp60 (6K oversampled) lengkap dengan sokongan Canon Log 3.

Tubuh EOS R8 Mark II menerima perubahan paling drastik kerana berkotak seperti kamera Sony. Rekaan baharu yang lebih selari dengan trend semasa ini juga menjadikannya lebih berat sekitar 546g dengan bateri (LP-E17) dan kad SD berbanding 461g pada R8 asal. Tubuh kamera juga mempunyai beberapa ciri kalis percikan air serta debu.

EVF adalah dari jenis OLED dengan 2.36 juta titik dan skrin LCD 3″ dengan 1.62 juta titik di belakang. Tiada perubahan di sini berbanding model asal. Terdapat mod Scene Intelligent Auto, Creative Assist, Scene modes, dan Color Filters yang membolehkan tetapan automatik diakses bagi mereka yang kurang mahir menggunakan kamera. Simulasi 16 jenis filem juga disertakan sekali dengan dua formula baharu NegativeFilmtone dan PositiveFilmtone.
Canon EOS R8 II dijual pada harga bermula $1,899 (~RM 7681) pada bulan Oktober depan.


