
DJI Osmo 360 II dilancarkan di Malaysia sebentar tadi. Ia hadir dengan sensor HDR 1″ yang direka 25% lebih efisien sambil menjimatkan penggunaan kuasa. Kamera ini menyokong rakaman 8K/60fps melalui cip khusus bersama piksel 2.4 μm yang membolehkan rakaman aksi kelihatan lebih lancar.


Osmo 360 II turut menawarkan julat dinamik 14.5 stops yang berfungsi mengekalkan butiran cahaya dalam persekitaran berkontras tinggi. Di samping itu, kamera ini menyokong rakaman gerak perlahan 4K240fps serta imej statik sehingga 120MP dalam format HDR. Ia juga memperkenalkan lensa boleh diganti dengan lapisan khusus yang tahan lasak. Sekiranya berlaku kerosakan, pengguna boleh mengganti bahagian luar sendiri menggunakan aksesori khusus tanpa perlu menghantar ke pusat servis.


Teknologi kecerdasan buatan (AI) terbina seperti SuperNight 2.0 membantu rakaman dalam keadaan cahaya rendah manakala fungsi penjejakan subjek pula memastikan fokus akan kekal dalam bingkai sepanjang masa. Kamera ini turut dilengkapi bateri 2150mAh yang mampu merakam sehingga 100 minit dengan storan dalaman 105GB. Seterusnya, ciri tambahan lain termasuk tapak magnet dua hala, NFC Quick Connect serta kalis air sehingga 10 meter atau 50 meter dengan kerangka khas.


DJI Osmo 360 II mula dijual di Malaysia bermula hari ini dengan tiga pakej berbeza. Pakej Standard Combo ditawarkan pada harga RM2,189 manakala pakej Adventure Combo berharga RM2,629 dan pakej Limitless Riding Combo pula dijual pada RM2,299.



