
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 sehingga 2020 masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.
RCI Tabung Haji Bukan Sekadar Tunjuk Kegagalan Tadbir Urus, CAP Dakwa Ia Turut Dedah Kewujudan Kumpulan Elit
Terbaharu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa isu melibatkan Tabung Haji itu turut mendedahkan kewujudan kelompok elit yang beroperasi dalam rangkaian kepentingan sama dan dilindungi kuasa politik sehingga membolehkan dana dari agensi itu disalahgunakan.
Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, pendedahan hasil siasatan RCI yang dinyahklasifikasikan baru-baru ini bukan hanya menunjukkan kegagalan pentadbiran dan strategi pelaburan yang lemah.
Malah, ia juga mendedahkan satu bentuk pelanggaran amanah jenayah yang disifatkan sebagai sistematik dan terancang.
Dakwa Mohideen, kerugian sebanyak RM13 bilion yang dicatatkan oleh Tabung Haji tidak seharusnya dilihat dari sudut individu yang menjadi sasaran.
Sebaliknya, terdapat persoalan lebih besar seperti siapa yang membina, mengendalikan serta melindungi rangkaian terbabit sehingga perkara sebegitu boleh berlaku.
“Tabung Haji diwujudkan sebagai institusi pembangunan yang mulia untuk mengurus simpanan rakyat biasa yang berusaha menunaikan ibadah haji.
“Menjejaskan integriti kewangan institusi ini, memanipulasi kunci kira-kira menerusi ‘perakaunan kreatif’, membayar dividen secara tidak sah ketika liabiliti jauh mengatasi aset serta menyalurkan berbilion ringgit melalui urus niaga orang tengah yang toksik adalah satu pencabulan moral,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
CAP Dakwa Kewujudan Malaysian Epstein Class,Guna Kedudukan & Pengaruh Untuk Beroperasi Tanpa Rasa Takut Dengan Undang-Undang
Dakwa Mohideen lagi, golongan terbabit disifatkan sebagai Malaysian Epstein Class iaitu kumpulan elit yang didakwa menggunakan kedudukan serta pengaruh untuk beroperasi tanpa rasa takut terhadap undang-undang, pengawasan dan nilai moral.
“Kelompok ini bukan satu entiti yang tersasar. Ia merupakan sindiket pemboleh merentasi setiap lapisan pengawasan profesional dan awam, termasuk sarjana serta pentadbir agama, pakar undang-undang dan akauntan, pengawal selia serta pegawai kerajaan dan golongan politik yang berkuasa ketika itu.
“Golongan sarjana dan pentadbir agama didakwa memberikan lapisan legitimasi serta perlindungan spiritual, manakala pakar undang-undang dan akauntan pula didakwa membantu membentuk urus niaga orang tengah serta struktur kewangan yang kabur untuk menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar.
“Pengawal selia dan pegawai kerajaan pula didakwa menutup mata, melengahkan tindakan atau meluluskan pelaburan berisiko tanpa usaha wajar, manakala elit politik ketika itu didakwa memperlakukan amanah awam sebagai sumber untuk naungan, politik kepartian dan pengayaan golongan elit,” dakwanya.
Kerajaan Perlu Pastikan Tiada Pihak Yang Terlepas Dari Tindakan Undang-Undang
Tambah Mohideen lagi, kesemua ahli parlimen baik kerajaan mahupun pembangkang perlu bersama-sama mengecam pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka.
Secara amnya, tanggungjawab fidusiari merujuk kepada kewajipan seseorang individu dalam mengambil tindakan demi kepentingan pihak lain bagi kapasiti amanah seperti pengarah syarikat atau pemegang amanah.
Malah Mohideen berpendapat, kerajaan juga perlu bertanggungjawab memastikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Ia termasuklah mereka yang didakwa menjadi arkitek, pengatur, akauntan yang meluluskan urus niaga dan pengendali politik.
Tegas Mohideen lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara juga perlu menjejaki semula kesemua pihak yang terlibat selain merampas keuntungan yang tidak sah, melucutkan gelaran serta menghukum mereka berdasarkan undang-undang.
“Apabila golongan elit percaya bahawa memakai sut, memegang gelaran atau berselindung di sebalik kesolehan agama menjadikan mereka kebal daripada undang-undang, kontrak sosial akan runtuh.
“Tabung Haji adalah milik ummah dan rakyat Malaysia, bukan mana-mana kelompok politik.
“Jika kita gagal meruntuhkan rangkaian kebal daripada hukuman ini hari ini, kita membuka ruang untuk institusi suci yang lain pula dijarah pada masa akan datang,” katanya lagi.
Sebelum ini, dalam sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH pada 11 Ogos lalu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan TH mencatatkan kerugian sebanyak RM13 bilion hasil daripada 14 pelaburan bermasalah.
Daripada 14 pelaburan tersebut, tujuh daripadanya telah merekodkan kerugian 100%.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Laporan RCI Tabung Haji Sahkan 5 Isu Pokok Termasuk Transaksi Mencurigakan’ – Rafizi
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Soal Amanah” – Anwar Jelas Pendedahan Laporan RCI Tabung Haji Bukan Politik Picisan
Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Audit Negara Gagal Tegur TH Isytihar Hibah 2017 Sebanyak RM2.75 Bilion – RCI Tabung Haji






