Bawa dalang salah laku TH ke muka pengadilan

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 4:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bawa dalang salah laku TH ke muka pengadilan

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam salah guna kuasa, penyelewengan kewangan dan pecah amanah susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, dapatan RCI menunjukkan wujud kelemahan serius dalam tadbir urus institusi itu termasuk campur tangan politik dan isu berkaitan pelaporan kewangan yang menjejaskan keyakinan jutaan pendeposit.

Katanya, keadaan itu turut memberi kesan terhadap reputasi Malaysia sebagai antara peneraju kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

“Apabila institusi yang dibina berasaskan prinsip Islam didedahkan terbabit dalam salah laku, ia bukan sahaja menjejaskan kepercayaan pendeposit, malah menimbulkan persoalan terhadap integriti pihak yang diberi amanah menguruskannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohideen berkata, antara penemuan utama yang dibangkitkan RCI ialah perbezaan ketara antara keuntungan yang dilaporkan TH pada 2017 dengan kedudukan sebenar berdasarkan piawaian pelaporan kewangan.

Katanya, laporan itu turut membangkitkan isu defisit aset berbanding liabiliti, pembayaran hibah melebihi kemampuan kewangan serta pemberian bonus ketika institusi berkenaan berdepan tekanan kewangan.

Beliau berkata, campur tangan politik juga dikenal pasti sebagai antara faktor yang mempengaruhi keputusan berkaitan kadar hibah dan strategi pelaburan, sedangkan perkara itu sewajarnya diputuskan berdasarkan pertimbangan kewangan yang berhemah.

Oleh itu, CAP menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap semua pihak yang terbabit tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

“Akta Tabung Haji 1995 juga perlu dipinda bagi mengehadkan kuasa menteri dalam urusan TH serta menghalang ahli politik aktif daripada memegang jawatan dalam lembaga pengarah atau pengurusan institusi berkenaan.

“Operasi pelaburan TH harus diletakkan di bawah pemantauan lebih ketat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia bagi memulihkan integriti serta keyakinan orang ramai terhadap institusi itu,” katanya. –UTUSAN

The post Bawa dalang salah laku TH ke muka pengadilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved