Capital A rancang kumpul lebih AS$1 bilion dalam hutang, ekuiti
diyana
25/10/2023 - 16:28
KUALA LUMPUR 25 Okt - Capital A Berhad, syarikat induk AirAsia, merancang untuk mengumpul lebih AS$1 bilion (RM4.7 bilion) dalam hutang dan ekuiti.
Syarikat tersebut juga akan menyenaraikan beberapa perniagaannya melalui syarikat pengambilalihan bertujuan khas (blank-cheque company), lapor Reuters memetik Financial Times, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes telah bersetuju dengan perjanjian dengan Aetherium Acquisition, syarikat pengambilalihan bertujuan khas, dan merancang untuk menyenaraikan beberapa perniagaan melaluinya tahun depan, lapornya memetik dua individu yang biasa dengan perjanjian tersebut.
Ini termasuk perniagaan baharu memperluaskan jenama AirAsia kepada syarikat dengan harapan untuk memulakan francais syarikat penerbangan di negara membangun.
Kumpulan itu telah menilai pilihan mengumpul dana untuk rancangan penyenaraian di Amerika Syarikat selepas ia dilanda sekatan perjalanan ketika pandemik di Asia, menyebabkan Bursa Malaysia Securities mengklasifikasikannya sebagai syarikat Amalan Nota 17 (PN17) atau mengalami masalah kewangan, tahun lepas.
Potensi pengumpulan dana juga termasuk pinjaman AS$150 juta daripada Bangkok Bank bulan ini, kata Financial Times.
Capital A dan Aetherium Acquisition tidak menjawab segera permintaan Reuters untuk mendapatkan komen. - DagangNews.com



