Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew

LocalEntertainment
17 Aug 2026 • 4:47 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Caprice diperintah bayar RM220,000 dan mohon maaf kepada Ebit Lew

Penyanyi rap Caprice diperintah memohon maaf dan membayar ganti rugi RM220,000 kepada penceramah bebas, Ebit Lew, selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mendapati beliau memfitnah individu berkenaan pada 2023.

Memetik laporan Sinar Harian, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, turut diarahkan memadam tujuh kenyataan yang diterbitkan bersama pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo, dalam tempoh 48 jam.

Beliau juga dilarang daripada mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berkaitan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa akan datang. Mahkamah turut menolak tuntutan balas yang dikemukakan Caprice selepas mendapati ia tidak berasas.

Caprice sebelum ini pada 15 September 2023 dipercayai memuat naik rakaman video yang menampilkan Mondy sebagai tetamu jemputan. Ebit dalam tuntutannya mendakwa kandungan video berkenaan membawa maksud bahawa beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain didakwa sebagai individu tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.

Caprice selaku defendan pertama turut didakwa menerbitkan rakaman berkenaan secara berniat jahat tanpa mendapatkan pengesahan fakta daripada Ebit atau peguamnya. Penerbitan video itu juga didakwa menyebabkan pengikut akaun YouTube Caprice mengeluarkan pelbagai komen negatif, cacian dan makian terhadap Ebit.

Ebit turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah yang dibuat Caprice dan Mondy menyebabkan beliau dikecam, diejek serta diaibkan. Pada 29 September 2023, polis memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dan fitnah yang membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.

Baca juga:

Dalam kenyataan di Facebook, Ebit menzahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah berkenaan.

“Alhamdulillah syukur pada Allah. Saya menang saman terhadap Caprice Ariz Ramli. Beliau diperintah mahkamah untuk mohon maaf atas fitnah dan beliau diperintahkan membayar keseluruhan Rm220 Ribu kepada saya,” katanya.

The post Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved