[VIDEO] Caprice akan rayu keputusan saman Ebit Lew

17 Aug 2026 • 3:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Caprice akan rayu keputusan saman Ebit Lew

PETALING JAYA – Pempengaruh dan penyanyi rap, Caprice akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM220,000 serta memohon maaf kepada pendakwah bebas, Ebit Lew.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menerusi video dimuat naik di Instagram memaklumkan sudah mengarahkan peguamnya untuk merayu keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi.

“Apa khabar semua? Saya ada berita buruk. Berita yang benar-benar buruk. Kami kalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, 2-0. Jadi, saya telah mengarahkan peguam saya untuk merayu keputusan hari ini. Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu. Moga-moga, insya-Allah, dekat Mahkamah Tinggi kita ada peluang yang lebih baik,” katanya.

Dalam masa sama, Caprice berkata, dia tetap menghormati keputusan mahkamah meskipun tidak berpuas hati dengan hasil prosiding berkenaan.

Menurutnya, dia juga sebelum ini pernah berdepan keputusan tidak memihak kepadanya di Mahkamah Sesyen sebelum memperoleh keputusan berbeza selepas perkara berkenaan dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Caprice dalam video itu turut meminta penyokong mendoakan satu lagi kes yang menurutnya masih berjalan di Tenom, Sabah.

“Ada masa kita kalah, ada masa kita menang. Kami akan merayu. Moga-moga kebenaran akan menang pada akhirnya. Terima kasih atas semua doa dan sokongan anda. Kami akan merayu dan saya akan berjumpa anda di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Caprice memohon maaf dan membayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit selepas didapati memfitnah pendakwah itu pada 2023.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor turut memerintahkan Caprice memadamkan tujuh kenyataan yang dibuat bersama pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo dalam tempoh 48 jam selain melarangnya mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berhubung Ebit pada masa akan datang.

Mahkamah turut menolak tuntutan balas Caprice selepas mendapati ia tidak berasas.

Kes itu tercetus selepas Caprice memuat naik rakaman video pada 15 September 2023 yang menampilkan Mondy sebagai tetamu, dengan Ebit mendakwa kandungannya antara lain membawa maksud beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap wanita tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

The post [VIDEO] Caprice akan rayu keputusan saman Ebit Lew appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved