‘Caprice memanipulasi kenyataan sampai netizen gesa saya keluar dari Islam’ – Michael Ang minta Caprice jangan terus tembak

19 Oct 2023 • 12:02 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Ketika ini tumpuan dunia ke arah isu mengenai pertempuran yang berlaku di Palestin. Selebriti dan pempengaruh di Malaysia turut menzahirkan rasa simpati dan melaungkan solidariti ke atas Palestin.

Disebalik kejadian itu juga, ada yang menyalahkan beberapa selebriti dan pempengaruh yang dikatakan seolah membisu dengan isu ini. Namun, ada juga kenyataan yang dikeluarkan oleh selebriti disalah tafsir dan menimbulkan ketegangan.

Dituduh menyokong Israel

Pengarah dan penerbit, Michael Ang menerima kecaman hebat sehingga digesa keluar daripada agama Islam gara-gara tuduhan tidak berasas daripada Caprice yang mendakwa Michael Ang adalah penyokong Israel.

Timbul salah faham itu mengakibatkan netizen sewenang-wenang menuduh dirinya menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin, baru-baru ini.

“Saya tak kisah bila orang gelar saya tak layak bergelar muslim yang baik. Itu urusan antara saya dan Allah SWT.

“Lagi pun saya tidak perlukan pendapat orang lain, mengatakan saya seorang muslim yang baik,” katanya.

Kenyataan dimanipulasi, punca timbul salah faham

Pada masa sama, Michael cuba memperbetulkan keadaan selepas disindir penyanyi Caprice apabila dikatakan menyokong Israel.

Menurut Michael, timbul salah faham dalam perkongsian Instagram baru-baru ini sehingga dia dituduh menyokong Zionis, sedangkan hakikatnya dia tidak suka pada peperangan dan mahukan keamanan.

“Caprice memanipulasi kenyataan dan mengatakan saya menyokong keganasan Israel. Itu tidak adil. Caprice ada berjuta-juta pengikut sehingga membuatkan saya dihentam dan diserang pengikutnya,” ujarnya.

Kata Michael, dia tidak menyebut mana-mana pihak dalam hantaran tersebut namun hanya pernah berdepan dengan pengalaman Instagramnya disekat daripada melakukan sesi siaran langsung (live) selama dua bulan disebabkan lantang menghentam Israel.

“Pada tahun 2021, saya secara lantang telah menghentam tindakan Israel sehingga perkongsian saya dalam Instagram dipadam dan disekat daripada melakukan live selama dua bulan,” jelasnya.

Caprice perlu hadam & faham sebelum ‘tembak’

Sehubungan itu, Michael menegur penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan itu supaya memahami dahulu sesuatu kenyataan sebelum terus membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

“Saya harap dia hadam kenyataan yang saya keluarkan. Jangan terus main tembak,” kata Michael.

Terdahulu, Caprice menerusi satu hantaran video dalam Instagramnya menyindir Michael apabila seolah-olah menuduh pengarah itu menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin.

Tindakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli itu sekali gus membuatkan Michael bengang dan meminta supaya penyanyi itu tidak menjadi batu api.

Sumber: Kosmo Onlie, Michael Ang