
KESEDARAN rakyat Malaysia terhadap kepentingan memiliki kad perubatan dilihat semakin menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini.
Ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap aspek perancangan kewangan serta perlindungan kesihatan diri dan keluarga semakin meningkat dengan ketara.
Namun begitu, kesedaran untuk memiliki peranti kewangan ini sahaja belum mencukupi sekiranya pengguna gagal memilih pelan yang sesuai dan mampu dikekalkan untuk tempoh masa panjang.
Perunding Kewangan, Infaq Consultancy Sdn. Bhd., Afyan Mat Rawi berkata, kesilapan ramai orang adalah hanya memberi tumpuan kepada jumlah manfaat serta membandingkan kadar caruman, tetapi terlupa menilai kemampuan untuk mengekalkannya sehingga usia tua.
Antara panduan dan perkara penting dalam memilih kad perubatan adalah seperti berikut:
Fahami peranan kad perubatan dan pilihan hospital
Memiliki kad perubatan bukan bermaksud hospital kerajaan tidak lagi relevan kerana institusi perubatan negara masih menyediakan rawatan berkualiti pada kos sangat rendah hasil subsidi kerajaan.
Malah bagi kes-kes kritikal tertentu di hospital swasta, terdapat situasi yang mana pesakit akan dirujuk semula ke hospital kerajaan yang mempunyai kelebihan yang lebih besar daripada sudut kepakaran.
Namun realitinya, hospital kerajaan menanggung jumlah pesakit yang sangat ramai menyebabkan tempoh menunggu bagi rawatan bukan kecemasan menjadi lebih lama berbanding hospital swasta.
Pilih mengikut kemampuan, bukan emosi
Secara teori, semua pelanggan mahukan perlindungan maksimum pada harga minimum, tetapi dalam dunia sebenar konsep caruman murah dengan manfaat tinggi tidak semestinya berkekalan.
Kos rawatan yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun boleh menyebabkan syarikat insurans dan pengendali takaful membuat semakan semula kadar caruman (repricing).
Kenaikan caruman akibat repricing yang di luar kemampuan berisiko menyebabkan kad perubatan dibatalkan, sedangkan perlindungan paling diperlukan apabila usia semakin meningkat dan risiko penyakit semakin tinggi.
Pilih yang mampu dikekalkan jangka masa panjang
Kad perubatan terbaik bukan semestinya yang menawarkan manfaat paling tinggi di dalam pasaran.
Sebaliknya, kad perubatan yang terbaik ialah pelan yang masih mampu dibayar secara konsisten oleh pencarum walaupun berlaku kenaikan kadar caruman pada masa hadapan.
Fahami bagaimana takaful berfungsi
Caruman bulanan tidak seharusnya dilihat sebagai satu kos semata-mata kerana di dalam takaful, terdapat konsep perkongsian risiko yang mengagihkan kos rawatan sesama peserta.
Dana yang dikumpulkan daripada sumbangan bulanan ini sebenarnya digunakan untuk membantu peserta lain yang ditimpa musibah dan memerlukan rawatan.
Oleh itu, jangan menganggap diri rugi jika tidak pernah membuat tuntutan kerana apabila dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak perlu masuk hospital, itu adalah nikmat yang sepatutnya disyukuri.
Polisi lebih utama daripada penerangan lisan ejen
Jangan sekadar mengisi borang, menurunkan tandatangan dan menyerahkan semuanya kepada ejen kerana dokumen polisi atau sijil takaful sentiasa menjadi rujukan utama sekiranya berlaku pertikaian kontrak bertulis.
Langkah ini penting bagi mengelakkan salah faham komunikasi, memandangkan setiap kad perubatan mempunyai syarat, had tahunan, tempoh menunggu, serta pengecualian penyakit yang berbeza.
Jangan tunggu sehingga sudah dimasukkan ke hospital barulah hendak membaca terma dan syarat polisi kerana pada ketika itu biasanya sudah terlambat untuk bertindak.
Fahami istilah penting perlindungan
Beri perhatian utama kepada istilah seperti had tahunan, kadar kelayakan bilik hospital, rangkaian hospital panel, serta konsep amaun yang boleh ditolak (deductible) dan pembayaran bersama (co-payment) yang memberi kesan langsung kepada harga caruman.
Sebagai contoh, pelan yang mempunyai deductible atau memerlukan peserta menanggung sebahagian kos rawatan biasanya menawarkan caruman yang lebih rendah, begitu juga sebaliknya.
Oleh itu, pilih pelan yang benar-benar sesuai dengan keperluan, kemampuan dan tahap risiko kewangan masing-masing kerana tiada satu pelan yang fleksibel untuk semua orang.
Manfaatkan pilihan perlindungan asas
Bagi individu yang masih belum mempunyai sebarang perlindungan kesihatan, kerajaan turut memperkenalkan MediAsas di bawah inisiatif Medical and Health Insurance/Takaful Basic (MHIT).
Inisiatif ini menyediakan pilihan perlindungan asas yang lebih mampu dimiliki oleh rakyat dan boleh menjadi langkah permulaan terbaik sebelum beralih ke pelan yang lebih komprehensif. – UTUSAN
The post Cara pilih kad perubatan untuk jangka panjang appeared first on Utusan Malaysia.




