Cari Port Buka Puasa & Moreh Dengan Vibe Santai? Apa Kata Cuba Gastro Seni WP Di Putrajaya!

LocalFood
10 Mar 2026 • 12:38 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Menjelang hujung Ramadan, semakin ramai yang memilih berbuka puasa di luar bersama keluarga dan rakan. Selain memudahkan, suasana meriah bersama keluarga dan kawan-kawan jadi daya tarikan utama.

Selepas berbuka, pasti ada yang sambung pula dengan aktiviti moreh. Kebanyakannya pasti akan bergerak untuk ke destinasi lain pula namun ada juga yang terus ‘stay’ di kawasan yang sama.

Buat anda yang mencari tempat sesuai untuk berbuka dan moreh sekali, siap ada lokasi untuk membeli keperluan raya, ada satu lokasi menarik yang patut masuk dalam senarai!

Perkenalkan festival Gastro Seni Wilayah Persekutuan 2026.

Untuk anda yang tidak tahu, festival yang turut dipanggil Gastro Seni 2026 ini merupakan salah satu program di bawah Festival Ramadan Putrajaya (FRP). Ia sedang berlangsung di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Presint 3 dari 18 Feb – 19 Mac.

Berpeluang berkunjung ke Gastro Seni baru-baru ini membuatkan kami sedar sebenarnya terdapat banyak tempat yang sesuai untuk orang ramai berbuka puasa dan moreh bersama kenalan atau keluarga tanpa perlu bergerak ke tempat lain.

Nak tahu kenapa?

image is not available

Banyak vendor makanan dan minuman menarik

Yang pertama, terdapat puluhan vendor makanan dan minuman yang tersedia, dari kuih-muih tradisional, cookies, dumpling, piza, char kuetiau, nasi sup daging serta banyak lagi.

Pilihan air pun boleh tahan, dari air mineral, jus buah-buahan hinggalah ke kopi artisan dan minuman viral.

Menurut penganjur terdapat 33 vendor makanan yang ada seperti:

Caah’s DonutKazen KitchenD’Faiz Klasik & Apam Balik Seri Menanti
FoodiezOregelatoBang Joni Kopitiam
Renee’s BurgerTaufufa Sejuk SwettenhamUbe Nasi Ulam & Karipap
Tshunami PancakeRempeyek Omak DenAyam Gunting Aliff
VicoThe Caravan PizzaKek Kapas Jepun
Gallitos ShnacksKuching EateryMitty&Beans
Lomang Paneh NogoriRestoran 3 BeradikCendol Bashah Pandan
Pulut Bakar Toh Teh X Shawarma MalayaDurian Crepe RabiRezQool
RefresheThai Street FoodAnnyeong Monti Keopi
MN CoffeeDenz KoffZie Kitchen
Buko OriginalDumpling No 1OhShem! Fried Chicken

Galeri Foto Booth Makanan

Kami berpeluang mencuba beberapa jenis makanan antaranya Set Nasi Sup Daging dan Char Kuetiau dari Restoran 3 Beradik, donat di Caah’s Donut, dumpling dari Dumpling No 1 dan banyak lagi.

Pada pendapat kami, Set Nasi Sup Daging menjadi pilihan utama dek kerana supnya yang memang menonjol dan rasanya pula memang padu serta cukup rasa.

Setiap hirupan terasa cukup dari segi rempah, rasa lemak dan kehangatan sup, menjadikan keseluruhan hidangan ini terasa lengkap ditambah pula dengan dagingnya yang empuk.

Donat dari Caah Donut pula menjadi appetizer pilihan kami. Teksturnya sangat lembut dan ringan manakala rasa manisnya begitu seimbang.

Kami yakin terdapat banyak lagi makanan yang enak cuma kami tidak berpeluang untuk mencuba kesemuanya kerana terlalu kekenyangan.

Pendek kata makanan yang dijual di sini memang sesuai untuk berbuka puasa dan untuk aktiviti moreh.

Tempat makan yang fleksibel, vibe pun santai habis!

Bukan itu sahaja, tempat makan seperti meja dan kerusi juga banyak tersedia. Boleh dikatakan setiap zon, ada meja dan kerusi. Pemandangan yang cantik dan suasananya santai habis.

Dengan hiasan lampu cantik, memang sesuai sangat nak bergambar. Ada juga meja yang terletak di sebelah kolam air pancut. Serius cantik!

Kalau tak cukup kerusi meja pun tiada masalah, anda hanya perlu bawa tikar atau meja lipat dan kerusi healing kerana terdapat beberapa spot yang sesuai untuk anda sekeluarga di setiap zon ini.

Ini termasuklah di Kiblat Walk atau Laman Iftar di Padang Kompleks PPj, padang ikonik yang terletak di hadapan Perbadanan.

Galeri Foto Port Berbuka & Moreh

Nak solat fardu dan tarawih? ‘Masjid Besi’ hanya beberapa ratus meter

Bila berbuka puasa di luar, antara perkara yang sering dititikberatkan adalah tempat untuk solat bukan? Ini juga antara kelebihan utama Gastro Seni kerana Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau turut digelar Masjid Besi hanya terletak beberapa ratus meter sahaja.

Bukan sahaja solat fardhu seperti solat Maghrib dan Isyak, anda nak tarawih sebelum sambung moreh dulu pun tiada isu. Malah kami juga sempat berulang untuk solat maghrib dan isyak selepas berbuka sebelum meneruskan sesi moreh.

Jika anda dapat spot menarik di Kiblat Walk, anda hanya perlu berjalan beberapa meter sahaja untuk ke masjid memandangkan ianya terletak di jambatan yang menghubungkan bangunan Perbadanan Putrajaya dan Masjid Besi.

Bahkan terdapat meja makan di sepanjang kawasan ini dan kawasan lapang untuk anda letakkan tikar, groundsheet dan sebagainya untuk dijadikan spot iftar dan moreh anda.

Nak shopping raya pun boleh!

Oh ya sebelum terlupa, Gastro Seni sendiri turut menyediakan Ruang Kraf dan Galeri iaitu zon yang menempatkan booth yang menjual barangan seni dan kraf.

image is not available
image is not available

Bukan itu sahaja! Satu kelebihan tempat ini adalah lokasinya yang berhadapan dengan Anjung Syawal Putrajaya yang juga di bawah program FRP.

Untuk anda yang mencari kelengkapan raya seperti Baju Melayu, Baju Kurung, songkok, tudung dan lain-lain, anda hanya perlu berjalan ke kawasan hadapan Perbadanan Putrajaya berdekatan Laman Iftar.

Secara keseluruhannya, berkunjung di sini bukan sahaja menarik malah anda dapat melakukan pelbagai lagi aktiviti pada waktu yang sama.

Jadi buat warga Lembah Klang, kalau masih tiada port yang sesuai apa kata rasai sendiri pengalaman berbuka dan moreh di sini.

Alamat dan Waktu operasi

Gastro Seni WP 2026
Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3
18 Feb – 19 Mac 2026
3 PM – 12 AM

Peta ke sini: