LEAD edar 300 pek berbuka puasa kepada pemandu e-hailing dan p-hailing

7 Mar 2026 • 9:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPD Seri Alam, Asisten Superintenden Mat Nawi Ab Rahman (tiga dari kiri) bersama Abdul Hakim mengagihkan pek berbuka puasa kepada penghantar p-hailing di Balai Polis Johor Jaya petang Jumaat.
image is not available
Naib Yang Dipertua, DPMM Negeri Johor, Mohd Nizam Kamal (dua dari kiri) turut mengagihkan pek berbuka puasa kepada anggota polis yang bertugas.

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Gig Digital Malaysia (LEAD Malaysia) mengagihkan sebanyak 300 pek berbuka puasa kepada pemandu e-hailing, penghantar p-hailing serta anggota polis di hadapan Balai Polis Johor Jaya, di sini pada Jumaat.

Program Prihatin Ramadan itu dilaksanakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang membenarkan agihan dibuat di lokasi berkenaan.

Pengerusi LEAD Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, inisiatif tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap pekerja ekonomi gig yang masih berada di jalan raya ketika waktu berbuka puasa.

Menurutnya, ramai dalam kalangan pemandu dan penghantar terpaksa meneruskan tugasan bagi menyiapkan tempahan pelanggan sehingga ada yang hanya sempat berbuka selepas penghantaran selesai.

“Program edaran pek berbuka puasa ini adalah usaha LEAD Malaysia untuk menghargai pengorbanan pemandu serta penghantar e-hailing dan p-hailing yang terus bekerja ketika waktu berbuka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak serta Ketua Balai Polis Johor Jaya, Inspektor Toh Yi Jie atas kerjasama menjayakan program berkenaan.

Abdul Hakim berkata, program tersebut juga bertujuan meringankan beban pekerja ekonomi gig selain menghargai sumbangan mereka kepada masyarakat, khususnya sepanjang Ramadan.

**media[3455556]**

Dalam pada itu, LEAD Malaysia turut menghargai sokongan rakan penaja iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Johor yang diwakili Naib Yang Dipertua Mohd Nizam Kamal serta Percetakan Bumi Restu Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya, Shaikh Mohamad Fareed Basheer.

Beliau berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) LEAD Malaysia bagi menjaga kebajikan komuniti ekonomi gig.

Sebelum ini, pada 24 Februari lalu, pertubuhan itu turut mengagihkan kira-kira 5,000 mangkuk bubur lambuk kepada pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

Sementara itu, seorang penerima yang juga penghantar p-hailing orang kurang upaya (OKU), Mohammad Syafreen Hafiz Mohd Helmi berkata, program berkenaan amat bermakna kepada penggiat ekonomi gig.

“Program seperti ini menunjukkan ada pihak yang mengambil berat tentang kebajikan kami, terutama ketika waktu berbuka puasa,” katanya.

Seorang lagi penerima, Iskandi Mohd Ishak berkata, inisiatif tersebut membantu mengurangkan kekangan yang dihadapi pekerja gig yang sering bekerja sehingga hampir waktu berbuka.

Program itu turut mendapat sokongan Rakan Grab (RRC) Johor Bahru yang bersama-sama mengagihkan pek berbuka puasa kepada para pemandu dan penghantar.

LEAD Malaysia memaklumkan program kebajikan seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak bagi menyokong komuniti ekonomi gig di negara ini.