Carimin Petroleum beli aset RM21.1 juta di Kuching, mahu hidupkan semula perniagaan fabrikasi logam

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 2:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Carimin Petroleum beli aset RM21.1 juta di Kuching, mahu hidupkan semula perniagaan fabrikasi logam Image from: Carimin Petroleum beli aset RM21.1 juta di Kuching, mahu hidupkan semula perniagaan fabrikasi logam hamden23/09/2026 - 14:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept - Carimin Petroleum Bhd menerusi anak syarikat milik 90%-nya, Sri Borneo Energy Sdn Bhd (SBE), mencadangkan pengambilalihan tanah pajakan dan bangunan di Sejingkat, Kuching, Sarawak bernilai RM21.12 juta secara tunai.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Carimin berkata SBE telah memeterai perjanjian jual beli dengan Sarwaja Timur Sdn Bhd (dalam proses pembubaran) bagi cadangan pengambilalihan tersebut.

 

Hartanah seluas 7.246 hektar itu merangkumi pejabat pentadbiran tiga tingkat, bangunan kilang, bengkel fabrikasi, loji galvanisasi, kawasan penyimpanan dan penggabungan serta kemudahan lain.

 

Carimin berkata SBE bercadang menggunakan hartanah berkenaan bagi aktiviti pembuatan, fabrikasi, pemasangan dan galvanisasi produk logam, selain aktiviti operasi serta penyimpanan berkaitan, tertakluk kepada kelulusan dan syarat hak milik yang diperlukan.

 

“Cadangan pengambilalihan itu merangkumi pengaktifan semula perniagaan galvanisasi dan fabrikasi logam dengan memanfaatkan rekod prestasi serta pengiktirafan pelanggan yang pernah dimiliki oleh loji berkenaan.

 

“SBE kemudiannya akan berkembang ke segmen industri dan pasaran lain bagi pertumbuhan masa depan,” katanya.

 

Dibiayai menerusi pinjaman bank

Menurut Carimin, kira-kira 90% daripada harga pembelian akan dibiayai menerusi pinjaman bank, manakala baki 10% menggunakan dana yang dijana secara dalaman.

 

Hartanah berkenaan mempunyai tempoh pajakan selama 60 tahun yang akan tamat pada November 2049.

 

Bagaimanapun, ia kini tertakluk kepada syarat hak milik yang mengehadkan penggunaannya kepada limbungan kapal.

 

Cadangan pengambilalihan itu juga tertakluk kepada SBE mendapatkan persetujuan bertulis daripada menteri Sarawak yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal tanah bagi pemindahan hartanah tersebut.

 

Carimin berkata pengambilalihan itu tidak dijangka memberi kesan material serta-merta terhadap pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Namun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam jangka panjang selepas SBE memulakan operasi.

 

Dari segi kedudukan kewangan, gearing kumpulan dijangka meningkat kepada 0.21 kali berbanding 0.12 kali sebelum ini, bergantung kepada campuran pembiayaan akhir.

 

Pengambilalihan tersebut dijangka diselesaikan dalam tempoh 12 bulan, tertakluk kepada penerimaan semua kelulusan dan persetujuan yang diperlukan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved