
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangka pelbagai pendekatan bagi menghidupkan semula pusat bandar Sandakan, termasuk cadangan memanjangkan waktu operasi premis perniagaan di bandar ini.
Perkara itu antara yang disuarakan dalam Program Town Hall MPS bersama pemilik bangunan dan premis pusat di sini, Khamis, di mana pelbagai cadangan dan pandangan pemegang taruh dibincangkan secara terbuka bagi mengenal pasti cabaran dan keperluan sebenar dalam usaha membangunkan semula pusat bandar.
Antara cadangan yang diketengahkan ialah membenarkan premis yang tidak berisiko beroperasi sehingga 24 jam, manakala premis yang mempunyai risiko tertentu dicadangkan beroperasi sehingga jam 4 pagi, tertakluk kepada kesesuaian dan syarat ditetapkan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap, berkata cabaran terbesar adalah memastikan keperluan serta aspirasi pemilik premis dapat dipenuhi seiring dengan usaha kerajaan membangunkan Sandakan.
Beliau berkata sekurang-kurangnya lima agenda utama perlu diberi perhatian bagi memastikan pusat bandar kembali aktif dan mempunyai identiti tersendiri.
Katanya, agenda pertama ialah mengaktifkan premis kosong yang ada di pusat bandar dan menentukan kenapa ia kosong.
“Kita perlu tahu kenapa premis-premis ini kosong dan Majlis Perbandaran Sandakan perlu membuat inventori pusat bandar Sandakan supaya boleh dibuat padanan perniagaan,” jelasnya.
“Dengan adanya inventori, kita boleh menilai semula premis dan menentukan jenis perniagaan yang sesuai dengan lokasi serta keperluan kawasan,” katanya.
Hadir sama, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson, pemimpin setempat dan peniaga terlibat.
Maijol berkata agenda kedua ialah meningkatkan imej bandar dari aspek kebersihan dan keselamatan.
Menurutnya, dalam masa sama pemilik bangunan juga perlu memainkan peranan yang sama dalam memastikan bandar yang bersih dan indah.
Dalam masa sama, beliau juga menyeru pemilik bangunan supaya bersama-sama mencantikkan dan mengecat semula bangunan masing-masing agar wajah pusat bandar lebih menarik kepada penduduk dan pelancong.
Agenda ketiga, katanya, ialah membangunkan ekonomi bandar supaya pusat bandar tidak sunyi selepas waktu petang.
Katanya, elemen warisan budaya, pasar malam dan aktiviti ekonomi perlu diketengahkan bagi mewujudkan identiti Sandakan yang tersendiri, selain memastikan aspek kebersihan dan keselamatan terus menjadi keutamaan.
Agenda keempat ialah membina identiti pusat bandar Sandakan, sementara agenda kelima ialah memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan baharu ke bandar itu.
Maijol menyifatkan Sandakan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan berikutan keunikan sejarah, budaya dan alam semula jadinya.
“Lokasi unik termasuk Sepilok serta tarikan lain boleh menjadi faktor untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Sandakan dan merasai sendiri pengalaman berada di bandar itu,” tambahnya.
Pada sidang media kemudian, Maijol berkata terdapat cadangan membenarkan premis perniagaan di buka 24 jam dan sehingga 4 pagi mengikut kategori risiko yang diharap memberi kemudahan kepada peniaga di sini dan pengunjung.
Walter berkata, MPS akan meneliti setiap pandangan yang dikemukakan sebelum merangka tindakan susulan yang bersesuaian.
Beliau berkata, MPS juga bersedia menawarkan insentif berkaitan dalam menarik lebih ramai peniaga aktif semula di pusat bandar ini yang mana kebanyakan masyarakat juga beralih ke pusat bandar baru di sini.
MPS juga akan mengadakan sesi townhall itu secara tahunan pada Ogos atau September bagi pelaksanaan awal tahun atas apa sahaja cadangan yang diberikan.






