Glasgow penentu prestasi Irfan di Sukan Asia

1 Aug 2026 • 10:53 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Glasgow penentu prestasi Irfan di Sukan Asia

PETALING JAYA: Sukan Komanwel Glasgow 2026 menjadi kayu pengukur kemampuan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin untuk meraih pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini.

Final lempar cakera akan berlangsung pada pukul 6.50 petang ini dan pentas ini akan menjadi medan untuk Muhammad Irfan menampil ‘aura’ untuk misi memburu pingat di Jepun.

Atlet berusia 30 tahun itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri menerusi balingan sejauh 62.87 meter (m) di Hungary bulan lalu, sekali gus menamatkan penantian lebih lapan tahun untuk memperbaharui rekod negara.

Namun, cabaran di Glasgow jauh lebih getir apabila Irfan bakal berdepan pemenang gangsa Olimpik Paris 2024 dari Australia, Matthew Denny yang memiliki rekod peribadi 74.78m, selain juara bertahan England, Lawrence Okoye (71.88m) dan atlet tuan rumah, Nick Percy (67.86m).

Walaupun sedar laluan ke podium bukan mudah, Muhammad Irfan percaya peningkatan prestasinya musim ini memberi keyakinan bahawa sasaran memenangi pingat di pentas besar bukan lagi sesuatu yang mustahil.

“Sasaran saya pada Sukan Asia tahun ini adalah memenangi pingat. Saya yakin sasaran itu mampu dicapai walaupun cabarannya sengit, terutama daripada atlet China, namun jurang catatan kami tidak terlalu besar dan saya percaya peluang itu tetap ada,” katanya.

Muhammad Irfan berkata, fokus utamanya ketika ini bukan memikirkan kemampuan pencabar, sebaliknya terus meningkatkan jarak balingan bagi memastikan dia berada pada prestasi terbaik menjelang temasya terbesar Asia itu.

“Saya bekerja keras ke arah itu dan tidak akan memberi perhatian kepada cabaran daripada atlet lain kerana fokus saya hanyalah untuk memperbaiki catatan semasa dan saya percaya masih mempunyai peluang memenangi pingat,” katanya.

Terdahulu, Penyelaras Program Kejurulatihan Negara, Mohd. Manshahar Abd. Jalil meletakkan sasaran untuk Irfan mara ke pentas final di Glasgow sebagai sesuatu yang realistik berdasarkan pengalaman dimilikinya, selain menganggap temasya itu medan terbaik menilai tahap sebenar atlet berkenaan sebelum menggalas cabaran di Sukan Asia.- UTUSAN

The post Glasgow penentu prestasi Irfan di Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved