liza23/10/2026 - 13:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Kerajaan tetap meneruskan pelaksanaan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% bagi pekerja asing, meskipun sebelum ini Kabinet bersetuju mengkaji semula dasar berkenaan susulan kebimbangan komuniti perniagaan terhadap peningkatan kos operasi.
Kementerian Kewangan berkata kadar caruman yang perlu dibayar majikan itu secara relatifnya adalah rendah kerana mengambil kira keperluan mengimbangi perlindungan sosial pekerja dengan kos yang ditanggung majikan.
Menurut Kementerian, pelaksanaan caruman mandatori itu yang berkuat kuasa pada Oktober 2025 merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas perlindungan sosial kepada semua pekerja di Malaysia, selaras dengan amalan antarabangsa.
“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh majikan berhubung peningkatan kos perniagaan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya menerusi jawapan bertulis Parlimen.
Kenyataan itu menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mengurangkan beban PKS ketika kos menjalankan perniagaan semakin meningkat, termasuk mempertimbangkan supaya caruman KWSP ditanggung sepenuhnya oleh pekerja asing sahaja.
Kajian semula
Pada 8 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kabinet bersetuju mengkaji semula pelaksanaan caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara, termasuk kemungkinan menangguhkan pelaksanaannya bagi mengurangkan beban yang ditanggung peniaga dan majikan.
Bagaimanapun, jawapan bertulis terbaharu Kementerian mempertahankan kadar caruman 2% sebagai relatif rendah, selain menegaskan kepentingan memperluas perlindungan sosial kepada pekerja asing.
78,129 majikan sudah mencarum
Seramai 78,129 majikan telah membuat caruman wajib KWSP bagi 1,754,460 pekerja asing sejak pelaksanaan dasar itu bermula pada Oktober 2025.
Menurut kementerian, perkembangan itu menunjukkan pelaksanaan caruman mandatori berkenaan mula diterima dan dilaksanakan dalam kalangan majikan, termasuk PKS.
Kerajaan pantau kesan kepada perniagaan
Beliau berkata, caruman itu turut bertujuan menyediakan simpanan asas kepada pekerja bukan warganegara yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Langkah tersebut juga bertujuan merapatkan jurang perlindungan sosial antara pekerja tempatan dengan pekerja asing, selain menyokong prinsip keadilan dan keterangkuman dalam sistem persaraan negara.
Bagaimanapun, kerajaan kekal terbuka kepada cadangan daripada semua pihak bagi menambah baik dasar berkenaan dari semasa ke semasa.- DagangNews.com






