'Insya-ALLAH berbaki lagi 14 bulan' - Shuib tunjuk bukti bayar caruman KWSP pekerja

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 10:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Insya-ALLAH berbaki lagi 14 bulan' - Shuib tunjuk bukti bayar caruman KWSP pekerja
Shuib

PELAWAK dan usahawan, Shuib tampil menjawab dakwaan syarikat perusahaannya Bubblebee yang dikatakan gagal melunaskan bayaran caruman wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerjanya.

Menerusi perkongsian di TikTok, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad memaklumkan syarikat yang diusahakannya itu ketika ini sudah pun mula membuat bayaran secara ansuran caruman tersebut kepada pekerjanya.

Shuib menjelaskan, bayaran ansuran itu sudah pun dibuat selama 10 bulan dan masih lagi berbaki 14 bulan.

“Saya ingin nyatakan tentang KWSP, di mana sekarang ini alhamdulillah, Bubblebee telah pun membuat bayaran ansuran selama 10 bulan kepada KWSP bermula bulan Januari 2026.

“Insya-ALLAH akan berbaki lagi 14 bulan. Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu berbuat salah, selalu buat dosa, jadi saya mohon maaf, saya mohon maaf, saya mohon maaf di atas kekhilafan saya,” kongsinya.

Shuib turut memuat naik tangkap layar memaparkan bukti bayaran yang telah dibuat syarikat perusahaannya.

Sementara itu, bapa kepada empat orang cahaya mata ini merayu agar orang ramai tidak memboikot beberapa perniagaan yang dilakukannya susulan kontroversi melibatkannya bersama rakan pelawak, Jep Sepahtu.

Ujar Shuib, perniagaan yang dilakukan itu merupakan sumber rezeki yang membantunya membayar hutang caruman pekerjanya yang terdahulu.

“Saya mohon sangat-sangat, berhentilah membuat apa-apa lagi andaian, kecaman, makian ataupun fitnah ke atas saya, isteri, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya.

“Sepah Penyey, Bubblebee, Nusantara Food, Sambal Hitam adalah perniagaan yang sah, halal dan inilah dia sumber pendapatan keluarga saya sekarang dan inilah yang saya jalankan sekarang untuk membayar segala hutang company iaitu Bubblebee.

“Janganlah kerana marahkan saya, kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot, sedangkan perniagaan saya sah dan halal.

“Saya anggap ini adalah ujian dan balasan di atas kekhilafan saya yang telah pun saya lakukan,” ujarnya.

Terdahulu, Shuib tampil memohon maaf kepada Jep atas sindirian yang dilakukan terhadap rakannya itu ketika mengendalikan audio siar yang diberi nama Dol’s Podcast.

Sebelumnya pada 8 Oktober lalu, Jep menyorot perhatian apabila memuat naik potongan klip daripada sebuah episod podcast yang memaparkan pelawak Shuib dan Mamat meminta pandangan pelawak Azlee Senario mengenai isu pembahagian bayaran dalam kumpulan yang didakwa dilakukan secara tidak adil.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, perkongsian berkenaan dipercayai seolah-olah merujuk kepada Jep yang juga merupakan anggota kumpulan Sepahtu.

Jep dalam hantaran sama turut menasihati Shuib supaya menyelesaikan perkara yang lebih penting, termasuk isu potongan KWSP perniagaannya yang pernah tertunggak sebelum ini.

Jep kemudiannya tampil memuat naik resit pembayaran zakat perniagaan yang dilunaskan setiap tahun.

Menurut Jep atau Mohd Nadzri Zainal Abidin, perkongsian tersebut bukan bertujuan untuk bermegah dengan jumlah zakat yang dibayar, sebaliknya sebagai bukti bahawa dia tidak pernah mengambil hak orang lain. - Awani/Gempak

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved