Carzo Holdings berdepan risiko dinyahsenarai Bursa Malaysia selepas gagal peroleh perniagaan teras baharu

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2025 • 1:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Carzo Holdings berdepan risiko dinyahsenarai Bursa Malaysia selepas gagal peroleh perniagaan teras baharu

image is not available

12/08/2025 - 13:03

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Carzo Holdings Bhd kini berdepan risiko dinyahsenarai daripada senarai Bursa Malaysia selepas gagal mendapatkan perniagaan teras baharu sejak keluar daripada operasi pengedaran buah-buahan segar dan produk buah-buahan sembilan bulan yang lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Carzo memaklumkan telah menerima notis daripada Bursa Securities yang meminta penjelasan bertulis mengapa syarikat tidak seharusnya dikenakan penggantungan dagangan atau disingkirkan daripada senarai.

Notis tersebut dikeluarkan kerana Carzo gagal mematuhi Peraturan 6.06(2) di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP, yang mewajibkan syarikat memperoleh perniagaan teras baharu dalam tempoh sembilan bulan selepas pengumuman pemberhentian perniagaan teras terdahulu.

Carzo mencatatkan kerugian bersih berterusan selama dua tahun kewangan berturut-turut dengan kerugian RM6.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan RM18.89 juta bagi tempoh 18 bulan tahun kewangan 2023.

Usaha syarikat untuk memulihkan perniagaan pengedaran buah-buahan segar yang menjadi teras sebelum ini gagal dan menyebabkan pengumuman pemberhentian operasi tersebut pada November tahun lalu.

Kali terakhir saham Carzo diniagakan ialah pada 17 Mac lalu pada harga 39.5 sen, dengan nilai pasaran sekitar RM37.7 juta.- DagangNews.com

standard