Bekas Pengarah Eksekutif Kenanga, Datuk Lee Kok Khee dilantik sebagai CEO baharu Kumpulan Atlan

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 12:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas Pengarah Eksekutif Kenanga, Datuk Lee Kok Khee dilantik sebagai CEO baharu Kumpulan Atlan

image is not available

08/08/2025 - 12:07

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Atlan Holdings Bhd melantik bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Perniagaan Ekuiti Kumpulan Kenanga Investment Bank Bhd, Datuk Lee Kok Khee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 7 Ogos 2025.

Kok Khee, 57, merupakan tokoh berpengalaman dalam industri perbankan pelaburan, setelah berkhidmat selama 22 tahun di Kenanga.

Kerjaya beliau di Kenanga mencapai kemuncaknya apabila dilantik sebagai Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Perniagaan Ekuiti Kumpulan.

Atlan berkata, pelantikan beliau dibuat berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pembrokeran ekuiti, derivatif ekuiti, perbankan pelaburan, kewangan korporat, teknologi kewangan dan perniagaan digital.

“Di bawah kepimpinannya, bahagian perniagaan ekuiti Kenanga telah meraih pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Perniagaan derivatif ekuiti syarikat turut muncul sebagai penerbit waran berstruktur teratas di Malaysia dan turut menerima pengiktirafan di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Atlan berkata, Kok Khee juga adalah individu penting di sebalik penubuhan Rakuten Trade Sdn Bhd, syarikat pembrokeran dalam talian sepenuhnya yang diasaskan bersama oleh Kenanga dan Rakuten Securities Inc pada 2016.

Syarikat itu kemudiannya memenangi anugerah Fintech Company of the Year Malaysia pada 2018.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kenanga turut mengumumkan peletakan jawatan Lee pada hari yang sama bagi membolehkan beliau meneroka peluang kerjaya baharu.- DagangNews.com

standard