
Juara dunia dua kali MotoGP, Casey Stoner, kembali mencuri perhatian di Grand Prix Austria baru-baru ini apabila memberi bayangan mengenai kemunculannya semula dalam dunia kejuaraan dua roda paling berprestij itu. Namun, kepulangannya kali ini bukanlah dengan sut perlumbaan dan jentera berkuasa tinggi, sebaliknya melalui suara pengalaman dan pandangan tajamnya terhadap hala tuju MotoGP.
Ditanya media tentang kemungkinan kembali, Stoner menjawab tegas:
“Untuk kembali ke dunia ini, ya. Tetapi bukan sebagai bos. Itu bukan peranan saya,” jelasnya. Sebaliknya, beliau lebih berminat untuk menyumbangkan idea dalam mesyuarat tertutup, sama ada pandangannya diterima atau tidak bukan isu, asalkan dapat membuka sudut perbincangan yang baharu.
Stoner yang terkenal lantang memberi kritikan, pernah menentang penggunaan berlebihan sistem elektronik, format Sprint Race dan konsesi pengeluar. Baginya, MotoGP wajar kembali kepada bentuk yang lebih “autentik” dan menonjolkan kemahiran pelumba sepenuhnya.
Pengalaman luas Stoner sebagai bekas pelumba, memahami perspektif jurutera, pengeluar, malah peminat, menjadikannya suara bernilai tinggi dalam perbincangan masa depan MotoGP. Tambahan pula, selepas pengambilalihan hak komersial MotoGP oleh Liberty Media, tidak mustahil pintu untuk Stoner kembali secara rasmi akan terbuka.
Buat masa ini, Stoner mengakui belum menerima sebarang tawaran:
“Kita akan lihat sama ada saya akan dipanggil untuk berkongsi pandangan,” katanya.
Soalnya kini, adakah MotoGP berani memberi ruang kepada suara kritis Casey Stoner? Atau beliau akan kekal sebagai pemerhati lantang yang pandangannya terus bergema di media dunia?
Teruskan bersama Two Wheels..!
Alpinestars
The post Casey Stoner : Buka Pintu Kembali Ke Dunia MotoGP, Tetapi Dari Sudut Berbeza appeared first on TW Media.




