amree06/08/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos — CBH Engineering Holding Berhad mengukuhkan kedudukan sektor kejuruteraan elektrik apabila memperoleh kontrak bernilai RM26.2 juta bagi kerja menaik taraf sebuah pencawang.
Katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, tender itu diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, CBH Engineering Sdn Bhd melibatkan fasiliti tenaga dengan kapasiti 275kV di Selangor.
Surat penganugerahan kontrak berkenaan diterima daripada sebuah syarikat tersenarai awam, namun identiti pelanggan tidak didedahkan berikutan terikat dengan klausa kerahsiaan dan publisiti.
"Bagaimanapun, kami memaklumkan yang syarikat tersebut menjalankan pelbagai aktiviti pegangan pelaburan, pembangunan hartanah serta penyediaan bekalan elektrik," jelas CBH Engineering lagi.
Ujarnya, tender tersebut melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) secara reka dan bina bagi menaik taraf pencawang itu, termasuk semua kerja yang berkaitan.
Anak syarikatnya dikehendaki mengikut spesifikasi serta keperluan projek, dengan kerja dilakukan dalam dua peringkat, dengan fasa pertama dijadualkan dapat disiapkan menjelang 15 Januari 2027.

Keseluruhan projek disasarkan siap pada 28 Februari 2027, dan Lembaga Pengarah menilai penerimaan kontrak itu adalah selaras dengan aktiviti teras syarikat serta demi kepentingan terbaik kumpulan.
"CBH Engineering yang berpangkalan di Kuala Lumpur merupakan kontraktor pendawaian serta pembekal produk elektrik dan kontrak baharu itu dilihat mengukuhkan lagi buku tempahan syarikat," katanya.
Lembaga Pengarah berkata kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta nilai aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Syarikat turut menjelaskan kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham, selain tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa.
Menurut CBH Engineering, di samping risiko operasi biasa dalam pelaksanaan projek, Lembaga Pengarah tidak menjangkakan sebarang faktor risiko material yang lain. - DagangNews.com






