Sabah kenal pasti surau perlu dinaik taraf

2 Aug 2026 • 10:28 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah kenal pasti surau perlu dinaik taraf

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) serta Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) bagi mengenal pasti surau di seluruh negeri yang memerlukan kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan.

Menterinya Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata kementerian itu turut akan mengadakan libat urus dengan pemilik pusat beli-belah, pasar dan pasar raya untuk mempertingkatkan kemudahan surau masing-masing supaya lebih selesa serta mudah diakses oleh umat Islam untuk menunaikan solat dan menjalankan aktiviti keagamaan.

Menurutnya inisiatif itu susulan pemerhatian yang dibuat sepanjang lawatan ke lebih 20 daerah bersama Muis dan Jheains, yang mendapati beberapa surau di tempat awam termasuk pasar dan pusat beli-belah memerlukan penambahbaikan.

“Kami telah mengenal pasti beberapa surau yang perlu dinaik taraf. Oleh itu saya turut meminta Jheains dan Muis mengadakan kerjasama dengan pemilik pusat beli-belah dan pasar raya yang menyediakan kemudahan surau supaya kita dapat bersama-sama menentukan bentuk bantuan atau penambahbaikan yang diperlukan.

“Perkara paling penting ialah memastikan keselesaan jemaah dan pengunjung yang menggunakan kemudahan surau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek naik taraf Surau Anjung Senja, Kota Kinabalu yang dilaksanakan oleh Sedafiat Sdn Bhd dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd Datuk Awang Buthamam Ag Mahmun, Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, wakil DBKK serta beberapa pegawai kanan.

Dr Mohd Arifin yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam di Sabah berkata surau yang diselenggara dengan baik penting bagi menggalakkan lebih ramai orang awam menggunakannya.

“Yang sama penting ialah surau itu perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

“Surau yang dinaik taraf ini mampu menampung kira-kira 20 jemaah pada satu-satu masa walaupun kapasiti keseluruhannya melebihi 30 orang dan boleh mencecah sehingga 50 orang. Kawasan lapang bersebelahan pula mampu menampung kira-kira 100 orang,” katanya.

Beliau berharap surau berkenaan dapat dijadikan lokasi untuk majlis berbuka puasa dan pelbagai program komuniti bermula Ramadan tahun hadapan.

Dalam pada itu Dr Mohd Arifin turut mengalu-alukan usaha menaik taraf surau di bangunan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) menjadi sebuah masjid selepas mendapat kelulusan Mufti Negeri.

“Masjid yang terletak di tingkat dua bangunan itu kini dibuka untuk solat Jumaat. Saya sendiri telah menunaikan solat di sana dan kemudahannya sangat selesa.

“Kakitangan kerajaan dan orang awam di kawasan sekitar kini boleh menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved