
KUALA LUMPUR – Tindakan kejam seorang lelaki warga emas yang dipercayai menghempas seekor anak kucing sehingga mati mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian itu tular di media sosial hari ini.
Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna Threads dikenali sebagai Una_Snazzy92, lelaki berkenaan yang memakai kain pelekat dilihat menghampiri tiga ekor anak kucing yang sedang bermain di koridor sebuah flat.
Dalam rakaman tersebut, lelaki itu kemudian menangkap salah seekor anak kucing sebelum menghempas haiwan berkenaan ke lantai beberapa kali sehingga mati di lokasi kejadian.
Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata meluahkan rasa marah dan sedih terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut.
Pemilik video turut meluahkan rasa terkilan kerana menurutnya, anak kucing itu hanya bermain di kawasan koridor dan tidak memasuki ruang kediaman lelaki terbabit.
“Tak suka kucing pun jangan sampai bunuh, kucing tu elok je main depan rumah aku, tidak masuk kawasan rumah dia pun,” katanya dalam hantaran tersebut.
Seorang lagi pengguna media sosial turut menggesa tindakan segera diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Ya Allah panas hati aku tengok, bapa siapa ini. Tolong buat laporan, kalau tak mungkin banyak lagi kucing lain kena nasib sama,” tulis seorang pengguna.
Orang ramai turut mendesak agar laporan dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Polis Diraja Malaysia supaya pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan.
Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, individu yang didapati bersalah menganiaya haiwan boleh dikenakan hukuman berat. Mengikut Seksyen 29 akta tersebut, pesalah berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kes ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai kepentingan kesedaran terhadap kebajikan haiwan serta keperluan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas bagi membendung kekejaman terhadap haiwan di negara ini. – MYBERITA



