
VIDEO memaparkan seorang wanita dibelasah seorang lelaki dipercayai suaminya di kawasan kaki lima sebuah premis tidak beroperasi menimbulkan kemarahan warganet.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 2 minit tiga saat itu dipercayai berlaku di Duyung, Daerah Melaka Tengah, memaparkan tindakan seorang lelaki yang memakai topi keledar mengasari wanita hamil kandungan kembar berkenaan.
Beberapa kali cuba menghenyak wanita itu dan menumbuk wajah, lelaki berkenaan turut membuat knee strike menggunakan lutut pada bahagian kepala!

Wanita berkenaan kemudian dihempas ke lantai berulang kali hingga mangsa dilihat terbaring tidak bermaya.
Bukan itu sahaja, pelaku kemudian dilihat menaiki motosikal jenis skuter sebelum tergamak melanggar bahagian kepala wanita tersebut.
Menerusi hantaran di Threads, lelaki berkenaan dipercayai telah mengesyaki isterinya curang kerana bekerja dengan rakan sekerja lelaki.
"Empat hari sebelum kejadian, mereka bergaduh dan keluarga wanita tu buat laporan polis. Tapi famili lelaki tu ikat jamin dia keluar.
"Dalam video tu isterinya kerja dan lelaki tu ingat dia curang," katanya.

Dalam untaian yang sama, pasangan berkenaan terdahulu dilaporkan telah bercerai talak satu, namun lelaki tersebut didakwa masih menganggap wanita itu sebagai isterinya.
Susulan dengan penyebaran video tersebut, satu mesej turut tular yang menyebut 'Ejas viral cari sampai jumpa, pukul bini sendiri bukan sekali dah banyak kali, kalau Pegang!! Area Duyung.Tolong repost rama-ramai yee geng!!.'
Warganet bengang berharap pelaku ditangkap segera dan diberi hukuman setimpal. Tidak kurang yang bersimpati dengan wanita itu, sambil mendoakan keselamatan dirinya dan kandungannya.


