Cecah usia 50 tahun, Azhan Rani elak berlakon adegan aksi

Entertainment
22 Aug 2026 • 4:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cecah usia 50 tahun, Azhan Rani elak berlakon adegan aksi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Azhan Rani, kini lebih selektif dalam menerima tawaran lakonan yang memerlukan dirinya terbabit dalam adegan aksi selepas menginjak usia 50 tahun.

Menurut Azhan, stamina fizikalnya tidak lagi seperti dahulu, malah dia mudah berasa letih apabila perlu menjalani jadual penggambaran yang mencabar dari segi fizikal.

“Sudah lama sebenarnya saya tidak bawa watak yang memerlukan saya melakukan aksi. Sekarang saya banyak terbabit dalam drama sebagai antagonis. Kali terakhir saya berlakon dalam genre aksi sebelum Chelot ialah KL Gangster Underworld.

“Sekarang sebenarnya saya sudah tidak berminat dengan aksi sebab cepat letih, faktor umur juga.

“Dalam filem Chelot, saya berlakon sebagai polis yang tidak mempunyai adegan aksi, hanya jalan ‘poyo’ sahaja,” katanya berseloroh ketika ditemui pada sidang media filem Chelot, baru-baru ini.

Mengulas perbezaan fasa kerjayanya kini berbanding dahulu, pelakon yang cukup dikenali menerusi watak Ustaz Hamadi dalam siri Nur itu berkata, keupayaan fizikalnya kini mempunyai batas yang jelas.

“Jika dahulu, saya boleh bekerja sehingga jam 4 pagi dan keesokannya terus menyambung penggambaran di lokasi lain.

“Namun, sekarang, buat dua babak pun saya sudah rasa sangat mengantuk. Beza sangat fizikal sekarang,” katanya.

Tambah Azhan, keputusan mengurangkan penglibatan dalam naskhah aksi turut dibuat bagi mengelakkan risiko kecederaan yang boleh menjejaskan komitmennya terhadap produksi lain.

“Kalau watak aksi, saya perlukan masa yang lebih lama untuk persediaan fizikal dan kecergasan. Banyak benda yang perlu difikirkan.

“Saya bimbang jika saya tetap melakukannya dan kemudian tercedera, ia akan memberikan kesan kepada produksi lain yang sedang berjalan. Jadi, jika saya rasa tidak mampu, saya akan tolak awal-awal,” jelasnya.

Bercakap mengenai hala tuju kerjayanya, Azhan berkata, dia kini lebih selesa memberikan tumpuan kepada genre drama yang menekankan aspek lakonan emosi berbanding fizikal.

Selain aksi, dia turut mengakui kurang gemar terbabit dalam naskhah seram bukan kerana faktor ketakutan, sebaliknya proses penggambaran yang mengambil masa panjang.

“Saya suka tonton filem aksi, tetapi saya tidak suka berlakon dalam aksi. Saya juga tidak suka buat cerita seram bukan sebab takut, tetapi prosesnya lambat.

“Nak tunggu solekan hantu dan kesan khas itu lama. Kadang-kadang orang lain sudah balik rumah, kita masih di set untuk cuci mekap. Tapi kalau yang jadi yang jadi hantu itu orang lain, tiada masalah.

“Jadi, buat masa ini, genre drama tetap menjadi pilihan utama saya,” katanya.

Selain Azhan Rani, filem Chelot turut dibintangi Shaheizy Sam, Shukri Yahaya, Beto Kusyairy, Nadhir Nasar dan Alicia Amin.

Filem berkenaan mula ditayangkan pada 27 Ogos ini. -UTUSAN

The post Cecah usia 50 tahun, Azhan Rani elak berlakon adegan aksi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved