CECAIR DI SEKELILING PARU-PARU RUPANYA AIR KENCING
Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dimasukkan ke hospital kerana demam, sakit ketika membuang air kecil dan sakit kuat di bahagian kiri belakang.
Imbasan CT menunjukkan jangkitan buah pinggang serta batu karang berukuran 6 mm yang menyumbat saluran pengumpulan air kencing di buah pinggang kirinya.
Doktor kemudian memasukkan tiub nephrostomy melalui kulit untuk mengalirkan air kencing yang tersekat.
Namun, empat hari selepas prosedur itu, remaja tersebut tiba-tiba mengalami sesak nafas dan sakit dada kiri yang sangat kuat.
Pemeriksaan X-ray menunjukkan sejumlah besar cecair telah memenuhi ruang di sekeliling paru-paru kirinya.
Pada awalnya, pleural effusion biasanya membuatkan doktor memikirkan masalah seperti jangkitan paru-paru, kegagalan jantung, kanser atau penyakit hati.
Tetapi dalam kes ini, cecair tersebut bukan sekadar air biasa.
Ia adalah air kencing.
Keadaan ini dikenali sebagai urinothorax, iaitu pengumpulan air kencing dalam ruang pleura di antara paru-paru dan dinding dada.
Analisis cecair pleura mendapati paras creatinine ialah 6.8 mg/dL, sedangkan serum creatinine pesakit sekitar 1 mg/dL. Nisbah creatinine cecair pleura kepada serum ialah 6.8, jauh melebihi nilai 1 yang biasanya menyokong diagnosis urinothorax.
Imbasan CT selanjutnya menunjukkan tiub nephrostomy tersebut berhubung dengan ruang pleura. Air kencing telah bocor melalui laluan yang salah sebelum terkumpul dan menekan paru-paru dari luar.
Ia bukan bermaksud paru-paru menghasilkan air kencing.
Air kencing dari sistem urinari boleh bergerak melalui tisu di belakang abdomen, saluran limfa atau kecacatan kecil pada diafragma sebelum memasuki ruang pleura.
Urinothorax boleh berlaku akibat:
• Saluran kencing tersumbat oleh batu karang
• Kecederaan pada buah pinggang atau ureter
• Prosedur nephrostomy atau pembedahan urologi
• Trauma abdomen
• Ketumbuhan yang menyumbat saluran kencing
Dalam satu lagi laporan, seorang lelaki berusia 69 tahun mengalami large pleural effusion akibat saluran kencing yang tersumbat. Siasatan lanjut akhirnya menemukan kanser prostat sebagai punca sebenar halangan tersebut.
Rawatan urinothorax bukan sekadar menyedut keluar cecair dari dada.
Punca kebocoran atau halangan saluran kencing mesti diperbetulkan.
Remaja tersebut pulih selepas cecair pleura dikeluarkan menggunakan chest tube dan tiub nephrostomy yang tersalah kedudukan diganti.
Dalam systematic review melibatkan 88 pesakit, 87% kes berlaku pada sebelah dada sahaja. Hampir semua kes yang diuji mempunyai nisbah creatinine cecair pleura kepada serum melebihi 1. Hasil rawatan juga jauh lebih baik apabila masalah pada sistem urinari dirawat, bukan sekadar mengeluarkan cecair dari dada.
Kadangkala, punca sesak nafas bukan bermula daripada paru-paru.
Petunjuk sebenar mungkin datang dari organ yang terletak jauh di bawahnya.
#PublicHealthMalaysia #Urinothorax #PleuralEffusion
Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.



