Ceferin nekad sekat dominasi Infantino

Football
7 Aug 2026 • 12:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ceferin nekad sekat dominasi Infantino

PARIS: Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin kini dilaporkan sedang ‘mengunci sasaran’ terhadap Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dalam satu sengketa kuasa yang kian meruncing.

Ceferin, 58, nampaknya tidak lagi mahu berlembut dalam usahanya menentang pengaruh Infantino yang didakwa cuba memonopoli tadbir urus bola sepak dunia.

Ketegangan antara dua badan induk itu memuncak susulan tindakan UEFA menggagalkan rancangan pelaburan swasta FIFA yang akhirnya memaksa Infantino membatalkan cadangan tersebut pada Sabtu lalu selepas menerima tentangan hebat.

Pakar strategi pemasaran sukan, Terrence Burns menyifatkan Ceferin sebagai pemenang besar dalam kemelut terbaharu ini selepas ancaman UEFA untuk memboikot Piala Dunia dilihat sebagai satu tindakan yang agresif dan berani.

“Ceferin mengendalikan situasi ini dengan cukup bijak. UEFA membawa perjuangan ini secara kolektif tanpa beliau perlu mengeluarkan kenyataan peribadi secara melulu.

“Ancaman boikot itu bukan sekadar gertakan, ia adalah ancaman yang kredibel,” kata Burns.

Ini bukan kali pertama peguam dari Slovenia itu berjaya ‘menundukkan’ Infantino apabila sebelum ini, kerjasama antara UEFA dan konfederasi Amerika Selatan (CONMEBOL) telah memaksa FIFA menggugurkan cadangan kontroversi untuk mengadakan Piala Dunia setiap dua tahun pada 2021.

Malah, Ceferin juga membuktikan ketegasannya apabila menjadi watak utama yang melumpuhkan projek Liga Super Eropah (ESL) dalam tempoh 48 jam selepas ia dilancarkan pada April 2021.

Bagaimanapun, di sebalik imejnya sebagai pejuang bola sepak Eropah, Ceferin tidak terlepas daripada kritikan dalaman.

Dia kini berdepan kecaman selepas meminda statut UEFA pada 2024 yang membolehkannya bertanding untuk penggal keempat tahun depan, sekali gus melanggar prinsip pembaharuan had penggal yang diperjuangkannya sendiri pada 2017.

Tindakan itu telah mencetuskan peletakan jawatan legenda Croatia, Zvonimir Boban yang bertindak sebagai Ketua Bola Sepak UEFA kerana kecewa dengan peralihan prinsip moral pemimpin berkenaan.

Namun, fokus utama Ceferin ketika ini adalah untuk memastikan Infantino tidak memenangi penggal keempatnya sebagai Presiden FIFA dalam kongres yang dijadualkan berlangsung di Rabat, Mac depan.

Walaupun Ceferin secara peribadi menegaskan tidak akan bertanding jawatan Presiden FIFA, pemerhati bola sepak melihat dia sebagai watak paling berpengaruh untuk menyokong mana-mana pencabar yang mampu menumbangkan Infantino. – AFP

The post Ceferin nekad sekat dominasi Infantino appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved