FIFA jamin Infantino kekal Presiden

FootballSports
7 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: FIFA jamin Infantino kekal Presiden

RABAT: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Gianni Infantino kekal sebagai presiden selepas mendapat sokongan penuh barisan kepimpinan badan induk bola sepak dunia itu dalam mesyuarat di Rabat, Maghribi, kelmarin.

Dalam kenyataannya, FIFA memaklumkan Infantino turut mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada Majlis FIFA dan 211 persatuan anggota kerana gagal berunding berhubung cadangan penjualan 21 peratus hak komersial Piala Dunia kepada pelabur swasta menerusi projek FIFA Forward Enterprise (FFE).

Infantino sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafström dan Ketua Pegawai Undang-Undang, Emilio García Silvero, sambil menegaskan hasratnya untuk terus menerajui organisasi itu meskipun berdepan tekanan daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Concacaf yang menggesa semakan terhadap tadbir urus FIFA.

“Barisan pengurusan FIFA menegaskan sokongan penuh kepada Gianni Infantino sebagai satu-satunya presiden yang dipilih oleh 211 persatuan anggota FIFA,” menurut kenyataan itu.

FIFA mengakui berlaku kelemahan dalam pengendalian cadangan FFE sehingga menimbulkan tanggapan bahawa Majlis FIFA dan persatuan anggota diketepikan daripada proses berkenaan.

Sehubungan itu, semakan dalaman akan dijalankan sebelum laporan dibentangkan pada mesyuarat Majlis FIFA akan datang.

Bagaimanapun, FIFA menegaskan, projek FFE telah dibatalkan sepenuhnya dan organisasi itu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang dakwaan yang menjejaskan integriti, tadbir urus serta reputasinya.

Dalam perkembangan sama, UEFA dijangka meneruskan usaha mencari calon untuk mencabar Infantino pada pemilihan Presiden FIFA dalam kongres badan itu di Rabat tahun depan.

Infantino dan Grafström turut hadir menyaksikan perlawanan Piala Negara-Negara Afrika Wanita antara Malawi dan Zambia sebagai simbol solidariti, selain menghantar surat bersama kepada ahli Majlis FIFA yang mengulangi pendirian rasmi badan induk itu. – AFP/UTUSAN

The post FIFA jamin Infantino kekal Presiden appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved