
PETALING JAYA: Penerbit terkenal, Datuk A. Aida mencetuskan tanda tanya mengenai status peribadinya selepas sekeping gambar memaparkan cek bernilai RM10 juta atas namanya didakwa sebagai hantaran perkahwinan tersebar.
Menerusi gambar yang tular itu, cek Maybank berjumlah RM10,000,000 itu jelas tertera atas nama Dato’ Zaidah Awang @ Dato’ A. Aida dan diletakkan di tengah-tengah gubahan bunga.
Lebih mencuri perhatian, cek berkenaan turut disusun bersama dekorasi bunga yang menyerupai gubahan hantaran, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa penerbit berusia 56 tahun itu mungkin sedang membuat persiapan untuk kembali mendirikan rumah tangga.
Bukan itu sahaja, menerusi cek tersebut turut tertera tarikh 1 September 2026 yang didakwa merupakan tarikh hari bahagia penerbit berkenaan bakal berlangsung.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada A. Aida mengenai identiti lelaki yang didakwa bakal menjadi pasangan hidupnya mahupun butiran mengenai majlis perkahwinan tersebut.
Perkembangan itu turut menarik perhatian memandangkan beberapa hari lalu, A. Aida sempat berseloroh mengenai hantaran RM10 juta ketika berbicara mengenai lelaki yang mahu memperisterikan anak perempuannya, Azeva Natassha.
Namun, kemunculan cek dengan jumlah sama yang kali ini tertera nama A. Aida sendiri pastinya menimbulkan persoalan sama ada angka RM10 juta itu sekadar kebetulan atau benar-benar berkaitan dengan khabar angin perkahwinannya.
Usaha Utusan Malaysia mendapatkan pengesahan lanjut daripada A. Aida berhubung perkara tersebut sedang dilakukan.
Untuk rekod, A. Aida pernah melalui empat perkahwinan. Perkahwinan pertamanya bersama vokalis kumpulan Spring, Ameng pada 1994 berakhir dengan perceraian pada 2003 dan mereka dikurniakan dua anak perempuan.
A. Aida kemudiannya pernah berkahwin dengan seorang anggota polis yang identitinya tidak didedahkan sebelum mendirikan rumah tangga dengan pegawai polis, Suffian Sulaiman pada 2007. Perkahwinan dengan Suffian yang dikurniakan seorang anak lelaki berakhir pada 2013.
Pada 2018, A. Aida kembali mendirikan rumah tangga buat kali keempat dengan pelakon Ariff Aziz, namun pasangan itu bercerai pada April 2019 selepas kira-kira sembilan bulan berkahwin.
The post Cek RM10 juta cetus tanda tanya, A. Aida bakal berkahwin? appeared first on Utusan Malaysia.





