CelcomDigi kemukakan cadangan pelaksanaan rangkaian 5G kedua, sedia laksanakan sendirian
herman
31/07/2024 - 15:03
KUALA LUMPUR 31 Julai - CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) mengemukakan cadangan untuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pagi ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, cadangan yang dikemukakan melibatkan pembinaan rangkaian 5G yang paling canggih untuk merealisasikan cita-cita Malaysia menjadi pemimpin serantau dalam pembangunan 5G dan kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, CelcomDigi mempunyai peluang untuk memanfaatkan dan membina infrastruktur kukuh sedia ada, kekuatan kewangan dan ekosistem teguh yang telah dilaburkan.
"Kami telah mengemukakan kes yang kukuh untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia – sama ada secara bersendirian atau melalui kerjasama dengan pihak lain – bagi memastikan ekosistem 5G yang berkembang pesat dibina untuk negara ini, dengan rakyat sebagai keutamaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, CelcomDigi berkata, pihaknya menunjukkan rekod cemerlang dalam keupayaan untuk mempercepatkan 5G dan AI untuk semua rakyat Malaysia dengan menyediakan pelaksanaan rangkaian 5G kedua negara yang paling berpatutan, pantas, dan efisien.
"Syarikat ini mempunyai rekod prestasi yang kukuh selama lebih 30 tahun dalam melaksanakan projek infrastruktur mudah alih dengan cekap dan dalam skala besar.
"Ia mengendalikan rangkaian 4G yang paling luas dan moden di negara ini – kini bersedia untuk pengaktifan 5G, disokong oleh pasukan kejuruteraan yang sangat kompeten, rantaian bekalan yang luas dan rangkaian syarikat menara dan infrastruktur terbesar untuk memudahkan pelaksanaan rangkaian 5G bertaraf dunia untuk Malaysia," jelasnya.
Kata kenyataan itu, lebih daripada dua pertiga rangkaian CelcomDigi akan dimodenkan menjelang akhir 2024, menjadikannya rangkaian digital terbesar dan paling moden di negara ini.
Katanya, rangkaian 5G sedia ada yang terdiri daripada 18,000 tapak ini bersedia untuk membolehkan pelaksanaan pantas teknologi 5G dan 5G-Advanced merentasi kawasan yang luas dan sedia untuk diaktifkan sebagai salah satu rangkaian 5G canggih terbesar di rantau ini.
"Untuk memastikan jutaan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada kuasa 5G dan AI, syarikat ini telah menggandakan usaha untuk membolehkan transformasi negara ke dalam masyarakat digital yang dikuasakan oleh 5G-AI melalui pembangunan portfolio produk 4G/5G terbaik di pasaran dan penyelesaian kelas industri untuk menggalakkan penerimaan pengguna dan perusahaan.
"Syarikat ini memanfaatkan ekosistem global dan tempatan yang luas dan berkembang, serta pemindahan pengetahuan daripada pemegang sahamnya Axiata dan Telenor untuk mendorong inovasi pesat bagi penyelesaian teknologi baru yang muncul untuk pengguna dan perusahaan," ujarnya. - DagangNews.com




