CelcomDigi STL Premier 2026: Melaka Titans, Perak Bison buka kempen GP Penang dengan kemenangan

29 Oct 2026 • 12:00 AM MYT
Stadium Astro
Stadium Astro

The latest sports results, news, match highlights, schedules and more

CelcomDigi STL Premier 2026: Melaka Titans, Perak Bison buka kempen GP Penang dengan kemenangan

Melaka Titans memulakan kempen CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) Premier 2026 GP Penang dengan langkah kanan apabila menewaskan Johor Tigris 2-0, manakala Perak Bison terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi Selangor Pistons 2-1 di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini.

Dalam aksi Kumpulan B, Melaka Titans mempamerkan penguasaan meyakinkan untuk mencatat kemenangan menerusi keputusan 15-11, 15-6, sekali gus memberikan permulaan sukar buat Johor Tigris dalam saingan GP kedua musim ini.

Gandingan Azlan Alias di posisi apit kanan, Syahir Rosdi sebagai tekong dan Zaim Razali selaku apit kiri meraih kemenangan itu selepas berjaya mengawal permainan dalam kedua-dua set.

Bagi Johor Tigris, yang menamatkan saingan GP Perak di tempat keempat, mereka perlu segera bangkit apabila dijadualkan berdepan tuan rumah, Penang Black Panthers, esok.

 

 

 

Sementara itu, Perak Bison memulakan kempen Kumpulan D dengan kemenangan 2-1 ke atas Selangor Pistons dalam perlawanan lebih sengit. Perak terlebih dahulu memenangi set pertama 17-14 sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 15-13 pada set kedua.

Bagaimanapun, Perak Bison berjaya menoktahkan tentangan lawan apabila memenangi set penentuan 15-13 untuk mengesahkan kemenangan keseluruhan 2-1.

Perlawanan itu turut menyaksikan penampilan tekong baharu Perak Bison dari Thailand, Pornthep Tinbangbon, yang bergandingan bersama Nazrein Daniel di posisi apit kanan dan Amirul Zazwan selaku apit kiri merangkap ketua regu.

Selangor Pistons pula mempertaruhkan Nonthanan Sombatlay sebagai apit kanan, Aizat Nor Azmi di posisi tekong dan Farhan Adam selaku apit kiri serta ketua regu, namun mereka gagal mengekalkan momentum selepas mengikat kedudukan pada set kedua.

Selangor Pistons dijadualkan bertemu Kedah Eagles esok sebelum Kedah meneruskan aksi menentang Perak Bison pada Jumaat. Kedua-dua perlawanan itu bakal menjadi peluang penting buat pasukan terbabit mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved