
PETALING JAYA: Perak Bison mempertaruhkan pengalaman dan ketajaman servis tekong Thailand, Pornthep Tinbangbon bagi memperkukuh cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2026.
Kehadiran Pornthep diumumkan menerusi media sosial rasmi kelab berkenaan, sekali gus menambah pilihan import berkualiti dalam usaha Perak Bison membentuk pasukan lebih kompetitif untuk menghadapi saingan musim ini.
“Rasmi! Perak Bison secara rasmi mengumumkan kehadiran Pornthep Tinbangbon sebagai sandaran baharu di posisi tekong. Bukan sekadar penambah bilangan, kehadiran Pornthep adalah tentang kualiti dan misi memburu kejuaraan.
“Bulatan keramat Perak Bison kini bersedia digerakkan oleh sentuhan magis beliau demi pasukan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi pasukan.
Tekong kidal itu memiliki kelebihan tersendiri menerusi servis yang tajam dan sukar dijangka, selain mampu menghasilkan sudut bola berbeza untuk menguji kecekapan penerimaan pihak lawan.
Keupayaan berkenaan dijangka memberikan dimensi baharu kepada corak permainan Perak Bison, terutama ketika berdepan pasukan yang memiliki pertahanan dan penerimaan bola mantap.
Pornthep turut membawa pengalaman beraksi bersama skuad Thailand dalam kejohanan antarabangsa, termasuk pertandingan utama seperti Piala Raja Thai, Sukan SEA dan Kejohanan Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Pengalaman itu menjadi nilai tambah buat Perak Bison, lebih-lebih lagi ketika permainan sepak takraw terus berkembang dengan perubahan taktikal dan pelaksanaan sistem kiraan 15 mata.
Perubahan generasi dalam skuad Thailand juga membuka ruang kepada Pornthep untuk memikul tanggungjawab lebih besar, sekali gus memberikannya peluang membuktikan kemampuan bersama pasukan baharu.
Bagaimanapun, keberkesanan servis dan pengalaman di pentas antarabangsa sahaja belum menjamin kejayaan, apabila keserasian dengan rakan sepasukan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan taktikal Perak Bison turut menjadi penentu.
Perak Bison kini berharap kehadiran tekong berpengalaman itu mampu membantu mereka tampil lebih konsisten dan memberi saingan sengit dalam perebutan kejuaraan STL Premier 2026. – UTUSAN
The post Pornthep perkuat Perak Bison appeared first on Utusan Malaysia.






