amree30/10/2026 - 15:33 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — CelcomDigi Berhad menanggung komitmen fi tahunan RM42 juta bagi penggunaan spektrum 2,600 megahertz (MHz) serta RM3,500 untuk setiap peralatan jalur 900MHz, selepas menerima penetapan rasmi kadar daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengendali rangkaian mudah alih terbesar negara itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penetapan berkenaan melibatkan dua blok spektrum masing-masing untuk frekuensi 2,600MHz dan 900MHz sepanjang tempoh penggunaan selama lima tahun yang akan datang.
Kumpulan operator telekomunikasi berkenaan menambah, fi tahunan bagi jalur 2,600MHz ditetapkan sebanyak RM42 juta untuk tempoh empat tahun, manakala jalur 900MHz dikenakan fi kira-kira RM3,500 bagi setiap peralatan bagi tempoh lima tahun.
"Komitmen tahunan itu adalah tambahan kepada bayaran fi penetapan spektrum berjumlah RM381.75 juta yang sudah dibayar secara pendahuluan bagi kedua-dua jalur frekuensi berkenaan, seperti diumumkan pada 15 Oktober 2026," jelas kenyataan CelcomDigi.
Penetapan spektrum berkenaan ujarnya, dijangka meningkatkan kapasiti rangkaian dan kualiti perkhidmatan syarikat itu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap sambungan mudah alih lebih berkualiti dan boleh dipercayai.
Tambahnya lagi, jalur 2,600MHz sebahagian besarnya digunakan untuk perkhidmatan jalur lebar 4G dan 5G, manakala frekuensi 900MHz pula mempunyai keupayaan liputan secara meluas serta kadar penembusan isyarat yang lebih baik di dalam kawasan bangunan.

Gabungan kedua-dua jalur frekuensi itu kata CelcomDigi, turut memperkukuh portfolio spektrum kumpulan berkenaan merentasi jalur tinggi, sederhana dan rendah bagi menyokong keperluan rangkaian serta pertumbuhan penggunaan data di seluruh negara.
Jelasnya, penetapan berkenaan mencerminkan komitmen kumpulan terhadap pelaburan infrastruktur bagi memenuhi isu peningkatan keperluan kesalinghubungan dan rangkaian pendigitalan di Malaysia, selain meningkatkan kecekapan perbelanjaan modal (capex).
"Syarikat pada ketika ini mempunyai lebih 20 juta pelanggan di seluruh Malaysia, sekali gus memerlukan kapasiti rangkaian yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan permintaan terhadap perkhidmatan telekomunikasi," katanya dalam kenyataan tersebut.
Pengumuman terbaharu itu menyusuli pembayaran RM381.75 juta bagi hak penggunaan spektrum 2,600MHz dan 900MHz, yang menjadi sebahagian daripada usaha CelcomDigi memperkukuh infrastruktur rangkaiannya bagi menyokong perkhidmatan 4G dan 5G di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, saham CelcomDigi meningkat satu sen atau 0.4% kepada sebanyak RM2.51 menjelang rehat tengah hari Jumaat, memberikan kumpulan tersebut dengan nilai permodalan pasaran mencecah kira-kira RM29 bilion. - DagangNews.com



